“Ini tulisan yang menggulung rentak suka nan duka. Tiadalah erti warkah ini melainkan sekadar mencari insaf dan sedar buat yang bernama diri. Carilah yang tersirat daripada yang tersurat di SangMentari ini.”

SANGMENTARI sangmentari.wordpress.com adalah tulisan ‘siri motivasi pembangun diri’ untuk menerobos sempadan minda dan kemahuan, buat memancar ilham, meraih secebis rasa sedar dan insaf buat yang bernama diri.

Hidup mesti bertuju. Tanpa matlamat dan misi, apa yang diimpi pasti akan hanya sebagai angan.

Harus dibeza antara impian, harapan dan imaginasi. Ya, saya punya imaginasi yang cukup besar. Saya mahukan sesuatu yang hebat-hebat dalam hidup. Adakah itu salah? Adakah itu dikira berdosa?

Tuhan tidak pernah melarang hambanya untuk mengejar kejayaan di dunia selagi hidup di sana tidak disampingkan. Marilah kita mencari, menerobos dan menggali segala mutiara dan aura dalam diri kita.

Kita sebenarnya  mampu untuk terbang… mengapa masih mahu merangkak?

Seloka Merungkai Resah

Dinihari pergi
Fajar pula mendatang, selajur menyingsing
Sang mentari melempar senyuman
Menampakkan tampangnya
Membakar diri
Bersinar menerangi seisi makhluk

Tidak pernah sesekali ia merintih
Walau senada kesal
Keluh, kesah
Tak akan…

Suria itu terus menambah bara-bara sinar
Gelora itu sama sekali tidak pernah terpadam
Walau sesaat
Hatta sedetik
Segenap penjuru merasa kecerlangannya

Badai dan langkisau sesekali mengganggu gugat
Mengancam, menggugah
Kedamaian mentari seolah diragut
Seakan dijarah
Selagi mana kudrat terdaya
Dia masih di situ…

Senja langsam menyambut
Mentari itu pasti juga akan pergi
Mengharap hari esok ada lagi peluang buatnya
Impian yang tulus
Semata berbakti untuk seluruh yang bernyawa

Profil

Dr. Ezairy M.Sallih
MBBCH (ASU cairo)

Emel/YM ID   : mohd_azreen_ezairy@yahoo.com / drezairy@gmail.com

p/s: Saya adalah insan yang fakir. Tidak pandai mengarang. Tidak juga arif dalam membina ungkapan-ungkapan bermadah. Jauh sekali untuk mereka-reka coretan indah.

Sememangnya manusia hina ini daif pada segala ilmu. Miskin di semua bidang. Saya pohon sepuluh jari dari hujung rambut ke hujung kaki. Mohon diampun pada segala kekurangan.