“Ayah.. Ammar nak pergi pasar tani lagi”

Itulah kata-kata anak kedua saya selepas kami pulang dari Bandar Mersing dua hari lalu. Rupanya bukan hanya saya sahaja yang teruja, tetapi anak berusia 4 tahun turut merasai kemeriahannya. Dasyat bukan? Itulah pukauan PASAR TANI KEKAL MERSING.

Mana tidaknya, selangkah masuk ke perkarangan pasar, kami sudah dihidangkankan dengan variasi buah-buhan eksotik yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia.

Antaranya buah mangga yang dijual dengan harga hanya RM10 untuk 3 kilogram. Rasanya sungguh manis sekali. Peniaga juga sangat ramah. Apa lagi, saya pun belilah Rm20 sebagai buah tangan!

Anda juga boleh membeli buah mata kucing, jagung, dan sayur-sayuran segar yang cantik dan dijual dengan harga berpatutan. Di pasar tani ini ada peniaga yang menjual daging lembu dan ayam mentah serta hasil laut yang segar. Ramai yang mengambil peluang untuk membeli di sini sambil membeli makanan beraneka jenis yang menyelerakan.

Di sini, saya sempat juga membeli beberapa makanan kegemaran seisi keluarga. Antaranya Satay Nitar, Kebab daging, putu bambu, air asam boy cawan besar, ayam goreng dan pelbagai lagi. Harganya semestinya berpatutan.

Buat warga Mersing, anda sememangnya sangat bertuah kerana mempunyai Pasar Tani Kekal yang menyeronokkan untuk dikunjungi bagi memenuhi aktiviti hari cuti. Tak perlu memasak, “Gantung kuali” orang kata, semuanya ada di sini!

Pasar Tani ini mulai buka pada jam 3.00 petang dan pengunjung akan mulai sesak pada jam 4.30 petang hingga ke malam. Pastikan anda datang awal untuk mendapat tempat letak kenderaan yang dekat.

Antara lain, peniaga turut menjual aneka mee, apam balik, air buah, kuih muih, kek dan sebagainya. Sungguh menyelerakan!

Amatlah beruntung kerana pasar tani ini dibina di bawah kompleks yang berbumbung. Peniaga dan pengujung dapat membeli dalam suasana selesa tanpa berpanas mahupun berhujan.
Ianya di bawah kelolaan FAMA dan banyak bantuan telah diberikan kepada peniaga kecil untuk meningkatkan taraf ekonomi.

Ada siapa-siapa yang sedang merancang destinasi percutian?

Saya cadang datanglah ke Mersing! Ya, sebuah bandar yang kaya dengan destinasi pelancongan, tempat-tempat menarik, pantai yang indah dan masyarakatnya yang peramah. Betul, orang Mersing?

Setelah penat berjalan-jalan, letih menikmati suasana indah di pantai Mersing, apa salahnya kita luangkan masa ke Pasar Tani Kekal Mersing. Tak rugi.

Ada siapa-siapa yang pernah berkunjung ke sini? Bagaimana pengalaman anda? Sangat menarik bukan?

Persinggahan saya tempoh hari disambut mesra oleh semua masyarakat setempat dan para penjual yang tidak pernah menang tangan untuk melayan para pengunjung.

Dibuka setiap hari Jumaat, pukul 3.00 petang hingga 8.00 malam, pasar ini sudah tentunya akan memberi anda satu nikmat kepuasan yang tidak akan anda peroleh di mana-mana.

Saya kongsikan beberapa kenangan yang sempat saya rakam sendiri. Pelbagai jenis hasil pertanian, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan dan banyak lagi. Anda lihat sendiri. Harganya juga sangat berpatutan!

Apa yang boleh anda peroleh di sini:

1. Buah-buahan

Sebut sahaja buah apa yang anda mahukan, semuanya ada di sini. Dengan harga yang sangat murah, kualiti rasanya juga tidak perlu disangkal lagi. Anda tak akan rasa rugi.

2. Sayur-sayuran segar

Selain sayur-sayurannya yang segar, anda juga boleh membeli berbagai-bagai jenis sayur yang anda tidak dapat peroleh di tempat lain. Kesemuanya amat segar dan ‘fresh dari ladang’ orang kata!

3. Kuih-muih yang pelbagai

Anda boleh dapatkan kuih-muih kampung dan tradisional yang mungkin sukar untuk ditemui di tempat lain. Datang ke sini, anda akan peroleh. Macam-macam ado!

4. Aneka minuman

Pelbagai jenis minuman juga ada. Dengan cuaca yang agak terik tempoh hari, dapat merasa seteguk dua jus limau asam boy sudah tentu memberi kesegaran yang tidak terkata-kata. Anda boleh rasainya sendiri nanti.

5. Sate ‘gergasi’

Istimewanya sate di sini ialah saiznya yang besar dengan harga yang amat murah. Anda boleh mendapatkan sate yang sangat ‘berempah’ dan sangat ‘berasa’ dengan saiz yang besar daripada biasa dengan harga daripada 70 sen secucuk!

6. Kebab ‘original’

Makanan ini memang saya sendiri rasa. Keenakannya memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Uniknya, anda akan dapat merasai dahing kebab asli di sini. Rasanya tak sama dengan dibtempat-tempat lain!

Banyak lagi yang anda boleh peroleh di sini termasuk barang-barang keperluan sampingan dan pakaian harian. Tak mampu untuk saya kongsi satu persatu.

Ada sesiapa yang mahu kongsi pengalaman anda sendiri? Bagaimana pasar dan tempat seperti ini di kawasan anda?

Orang Mersing dan Johor pula bagaimana? Jom, kita kongsi di sini.

.

Bantu saya dengan kongsi dan #Share artikel ini sebagai tanda kita sokong produk dan peniaga-peniaga tempatan kita.

.

Dr. Ezairy M.Sallih
#siritravelogdrezairy
Alang-alang ke Mersing, saya singgah ke Pantai Air Papan. Bersih dan landai pantainya. Biru kehijauan lautnya. Jangan lupa singgah ya!