Terima kasih ayah

…………………………………………………

Apabila sampai saja ke katil bernombor empat pagi tadi, hati saya sebak. Pilu,

“Macam mana uncle, semalam ada lagi berak-berak?”

Dia menggeleng. Seolah tak faham apa yang saya beritahu.

“Masih buang-buang air lagi doktor. Semalam sudah tujuh kali pergi toilet,”

Pesakit  ini sudah hampir dua minggu  berada di dalam wad.  Datang ke klinik ketika itu dengan  pembengkakan pada leher, suara yang berubah menjadi serak yang teruk serta susah mahu menelan.

Kami segera lakukan ujian skop kepadanya. Ujian imbasan dan pembedahan bagi mengambil sampel biopsy juga dilakukan.

Keputusannya sudah pun ada di tangan saya.

Saya sedut nafas dalam-dalam…

“Itu result hari itu sudah keluar ke doktor?”

Anak pesakit  tersebut menyedarkan saya. Saya terpempan. Pandangan segera terkalih kepada anak muda itu pula.

“Oh ya, sudah. Result biopsy sudah balik. Saya sudah dapat semalam,”

Apabila melalui saat dan ketika seperti ini, memang sukar untuk memberitahu kepada pesakit atau keluarga. Saya percaya mana-mana doktor lain pun turut merasai apa yang saya sering alami.

Dada saya sesak.

“ Doktor…”

“Err… ya, sorry..”

“Biopsy result sama macam saya beritahu hari itu. Kita suspect kanser. Dan result juga confirm yang ayah awak memang ada kanseer. Confirm.”

Saya berterus terang.

Muktamad.

Rasanya perkara ini memang tidak boleh diselindung. Pesakit dan keluarga lambat-laun akan tahu juga.

“ Confirm doktor?”

“ Result biopsy memang confirm ini kanser, saya minta maaf, sabar ya,”

Anak muda itu terdiam. Wajahnya kosong. Saya dapat gambarkan perasaannya saat itu.

“ Kalau boleh tahu ini stage berapa?”

“ CT scan dan MRI akan kami buat tak lama lagi, nanti kami akan beritahu ya,”

Saya lihat pesakit tua yang sudah menganjak usia 71 tahun itu Nampak bersahaja. Sama ada dia sudah bersedia atau dia sudah reda dengan ketentuannya.

Banyak lagi proses serta prosedur yang perlu dilaluinya.

Pembedahan mungkin? Radioterapi? Kemoterapi?

Moga beliau tabah. Sabar melalui ujian Maha Pencipta.

Tiba-tiba sahaja saya teringat kepada wajah ayahanda saya.

Insan yang membesarkan saya semenjak kecil dan sentiasa di belakang saya.

Terima kasih…Ayah.