“Saya nak jadi doktor sebab bila besar nanti saya boleh jadi kaya,”

“Aku nak beli rumah besar, sebab itu aku nak jadi doktor,”

“Mak saya yang suruh saya jadi doktor, hidup senang nanti katanya,”

Kalau inilah matlamat dan sebab bagi anda yang memang bercita-cita untuk menjadi doktor, Maka lupakanlah!

Kenapa saya kata begitu? Kerana hidup seorang pegawai perubatan tidaklah seperti yang biasa orang fikirkan. Kalau nakkan kemewahan di dalam hidup, nakkan kekayaan yang melimpah ruah di dalam kehidupan, ini bukanlah lapangan dan bidang yang sepatutnya.

Anda tidak akan menjadi betul-betul mewah sekiranya anda tidak berusaha dengan begitu kuat.

“Kalau nak sangat jadi kaya, berniagalah. Buka syarikat sendiri, untung juta-juta!”

Itu merupakan antara salah satu kata-kata keramat yang dikeluarkan oleh salah seorang professor saya semasa di kuliah dulu. Di Mesir, doktor juga bukanlah hidupnya mewah sangat.

Ada doktor yang ke hospital dengan menaiki motosikal sahaja. Ada juga yang hanya menaiki bas. Pendapatan mereka juga tidaklah terlalu besar.

Sama juga senarionya di sini Malaysia. Seorang doktor perlu menghasbiskan banyak masanya di hospital bersama pesakit. Ahli keluarga di rumah juga semestinya harus memahami kerjaya pasangan dan ahli keluarganya. Kadangkala terpaksa balik pagi, ada kalanya pulang di tengah malam, semuanya tidak tentu masa.

Sebab itu saya selalu pesan kepada mana-mana pelajar yang memasang impian dan hasrat untuk menjadi doktor semata-mata kerana pangkat, harta, wang ringgit, di sini bukanlah tempat dan bidangnya.

Kerjaya doktor perlukan komitmen, kesungguhan serta keikhlasan dalam setiap tindakan. Kenapa saya katakana tiga elemen itu. Kerana jika tidak ada komitmen serta kesungguhan yang tinggi di dalam diri, mereka tidak akan sanggup untuk bekerja lebih masa, bersengkang mata pada bila-bila masa saja, tanpa mengira waktu.

Jika tidak ada juga kesabaran dalam merawat pesakit, seorang doktor tidak akan mampu untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada setiap pesakit. Kerana setiap kerja yang dilakukan atas dasar keterpaksaan sekadar menghasilkan hasil dan natijah yang kurang sempurna. Hasil yang kurang sempurna sudah tentunya akan memberikan impak yang sangat buruk kepada pesakit itu sendiri.

“ Aku rasa bosanlah dengan kerja aku ni, rasa tak seronok!”

Ungkapan-ungkapan seperti ini bukanlah jarang didengari di kalangan doktor, Ramai doktor-doktor muda yang mengadu mereka tertekan dan tidak minat dengan kerja yang mereka lakukan sekarang. Semuanya kerana apa?

Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana mereka semakin hari semakin lupa akan niat mereka bekerja selama ini. Apabila niat dan matlamat utama mereka bergelar seorang doktor telah lari, mungkin selama ini ada yang angannya bekerja kerana nakkan nama, harta, atau wang barangkali, maka apabila mereka mula menjengah ke alam realiti pekerjaan, apabila mereka benar-benar sudah masuk ke bidang ini, mereka akan segera putus asa. Tak ada semangat!

Semua yang diinginkan selama ini tidak tercapai. Keindahan serta kemewahan yang disangka rupa-rupanya hanya angan-angan yang dicipta oleh mereka sendiri. Mereka kecewa. Dan akhirnya ada yang sehinga terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menjadi doktor!

Adik-adik, teman-teman, perbetulkanlah kembali niat anda. Jadikan matlamat asal anda untuk masuk ke bidang ini hanyalah semata-mata kerana anda sendiri minat dan ingin bekerja bersama pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan daripada anda.

Saya percaya sekiranya perkara dan elemen inilah yang anda sendiri sandarkan dulu, tidak akan wujud para doktor yang bermasalah semasa menempuh alam pekerjaan.Tidak akan ada doktor yang kerjanya suka curi tulang, ponteng kerja, hilang semangat dan bermacam-macam lagi.

Ya, tidak dapat dinafikan. Ada juga doktor yang berhenti daripada tugasan mulia ini bukanlah kerana sikap buruk mereka, bukan juga kerana salah niat asal mereka. Ada juga yang berhenti kerana semangat mereka yang tidak betul-betul kuat semasa menempuh alam awal pekerjaan khususnya di dalam alam doktor pelatih.

Betul, zaman doktor pelatih merupakan tempoh yang amat meletih dan menekan mana-mana jiwa doktor. Anda akan dimarah, diperbetul, ditegur yang bukan-bukan walaupun kesalahannya mungkin remeh temeh, anda akan diherdik barangkali dan berbagai-bagai lagi perkara yang anda sendiri mungkin terlalu sukar untuk membayangkan selama ini.

Sebab itu saya sebut sedari awal, ubahlah niat anda. Andai sejak mula lagi anda tanamkan dalam diri, “ Aku nak jadi doktor ni, sebab aku memang minat. Aku kerja ni memang aku nak tolong semua pesakit yang aku jumpa. Aku tak kisah walau dimarah dan dikata apa sekalipun,”

Sekiranya awal-awal lagi anda telah menanamkan perasaan dan niat seperti itu, saya yakin tidak akan timbul apa-apa masalah berbangkit apabila anda mula masuk ke alam pekerjaan nanti.

Percayalah anda akan menjadi seorang doktor yang amat dan sangat berjaya, sekiranya niat anda memang betul semenjak dari mula lagi anda memasang angan dan impian.

Bagi yang masih lagi belum masuk ke bidang ini, periksa terlebih dulu hati anda, ubah niat dan matlamat jika perlu, bersihkan hati.

Kita bekerja bukan semata-mata kerana harta, pangkat atau wang.

Tetapi bekerja untuk Allah dan menolong manusia yang lain.