Moga esok lebih sempurna…

Ramai orang ingat doktor, pegawai tinggi, peguam, pensyarah, akauntan, jurutera atau usahawan berjaya ini hidupnya mewah. Apa nak semua boleh dapat. Hidup bahagia sentiasa, senanglah katakan.

Kalau ada yang memasang impian hanya kerana itu, lupakan saja. Saya cakap begitu kerana hidup mereka sama saja seperti mereka yang lain di luar sana.

Ya, wang dan ringgit mungkin mudah untuk dibeli. Siapa yang kerja kuat, dia akan dapat lebih hasilnya.

Tapi… masa yang kita ada, kita tak pernah boleh beli. Kan? Kaya, mewah, senang macam mana pun kita, masa adalah nilai yang paling berharga sebenarnya dalam kehidupan seseorang. Sesiapa pun.

Seorang doktor perlu bersedia untuk bekerja pada bila-bila masa sahaja. Tak boleh elak. Tak boleh kata tak nak atau tidak. Hatta apa-apa kemalangan yang berlaku di depan mata, adalah menjadi antara tanggungjawab mereka untuk datang membantu merawatnya. Fardu kifayah. Pekerjaan yang lain begitu juga.

Rasulullah SAW pernah bersabda, ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Jelas, nabi juga menyuruh kita semua untuk bekerja keras, berusaha bersungguh-sungguh dalam segala kerja kita.

Amanah dan jujur merupakan aspek utama yang perlu ada dalam diri setiap daripada kita.

Sebab itu bila ada orang yang bercita-cita hendak jadi itu atau ini; sebab gaji dan kehidupannya nanti … ubahlah persepsi itu.

Apa pun kerja kita nanti, kita sama saja. Laksanakan dengan terbaik. Jangan lupa yang Allah sedang menguji kita, bila-bila masa saja. Mungkin sekarang ini saat kita sedang tertawa, saat anda sedang melihat tulisan saya ini, anda juga sebenarnya sedang diuji. Mana tahu, kan?

Jangan pernah menyesal dengan apa yang kita ada sekarang. Allah tak pernah zalim atau berat sebelah pada hambanya. Ia sentiasa adil. Maha saksama. Maha pemurah.

Bersangka baik pada kehidupan kita.

Berdoalah…

Moga hari esok lebih sempurna.