Setiap daripada kita pasti mempunyai impian yang besar-besar. Ada angan-angan yang menggunung. Punya cita yang hebat-hebat. Betul?

Saya percaya bukan saya seorang saja yang pernah mengimpikan sesuatu yang besar-besar di dalam hidup. Bahkan anda juga begitu. Ya, tidak pernah ada salahnya untuk kita mengimpikan sesuatu yang besar-besar di dalam hidup, asalkan kita berusaha, gigih dan tidak mengenal erti putus asa.

Namun hakikatnya ramai di kalangan kita pada hari ini mudah sangat untuk merasakan mereka telah gagal di dalam hidup apabila sesuatu yang diimpikan itu tidak dapat dicapai.

Sifir kehidupan ini mudah saja, dik. Tidak ada erti gagal di dalam hidup. Ya, setiap yang berlaku ke atas anda sehari-harian adalah sebuah proses pembelajaran yang anda sendiri bayar. Dan proses-prosese inilah yang akan anda tuai hasilnya di kemudian hari.

Datuk Lee Chong Wei sebelum menjadi pemain nombor satu dunia seperti mana pada hari ini juga pernah menduduki kedudukan bawahan sebelum ini. Bagaimana beliau boleh bangkit? Adakah anda merasakan beliau tidak pernah mengalami kegagalan sepanjang perjalanan beliau untuk bergelar pemain badminton teratas dunia?

Setiap kejayaan yang diperoleh pasti perlu dibayar dengan sebuah kegagalan. Sebuah kejayaan yang diperoleh tanpa perlu melalui sebuah kegagalan pasti bersifat sementara. Jadi, janganlah berasakan kegagalan itu sebagai batu penghalang kepada kejayaan anda. Jadikanlah ia sebagai batu loncatan kepada kegemilangan anda.

Nabi sendiri sebelum berjaya menyebarkan agama Islam ke merata tempat terpaksa melalui deretan kepayahan dan ujian daripada Allah. Kenapa tidak pula kita? Bukankah baginda diciptakan untuk menjadi role model kepada kita semua.

Salam motivasi, salam kejayaan, selamat menempuh kejayaan yang penuh gemilang buat anda semua!