Bangun pagi-pagi sahaja jiwa telah dibebani dengan seribu satu masalah. Yang pekerja, dengan masalahnya sendiri. Yang bos, dengan problemnya yang tak pernah habisnya juga. Setiap orang ada halangan dan perkara yang perlu diselesaikan. Bukan anda seorang sahaja.

Jadi, sebaik sahaja anda celikkan mata, ambil wuduk, basahkan seluruh tubuh  untuk kesegaran diri kemudian  set dalam minda, programkan betul-betul, dan bawa hati anda ke arah apa yang anda mahukan.

Letakkan diri anda di dalam situasi ketenangan, bawa jiwa anda jauh ke tempat yang aman damai, segar dan penuh dengan kerehatan.

Seseorang itu akan mudah untuk berasa stress dan cenderung untuk berasa marah, apabila emosi mereka berada di  dalam keadaan yang tidak stabil. Emosi yang tidak stabil adalah berkait rapat dengan ketidakseimbangan hormon dan bahan kimia yang natural di dalam tubuh.

Jangan biarkan diri anda terbawa oleh perkara-perkara yang mengganggu emosi  anda.  Apabila minda anda telah memprogramkan sesuatu yang bersifat ‘objektif’, secara tidak sedar, anda akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu. Percayalah, hidup anda pasti akan lebih bermakna dengan keceriaan yang dilalui.

3 perkara untuk mudah mencapai objektif hidup:

1. Ikhlaskan niat melakukan sesuatu perkara. Letakkan ALLAH sebagai hadaf dan matlamatnya.

2. Fikirkan kejayaan yang bakal diperoleh, hasil daripada usaha yang dilakukan beserta tawakal yang kuat kepada ALLAH. Secara tidak langsung, ini akan menjadi suntikan bosoter ke arah kecemerlangan anda.

3. Jangan terlalu masukkan perkara-perkara negatif yang bakal anda hadapi ke dalam minda anda. Kesemua ini akan menjadi batu penghalang besar kepada capaian matlamat hidup anda.

Selamat maju jaya untuk anda semua!