Sekiranya Anda memberi sesuatu kepada orang lain selalunya Anda akan menggandakan hasil yang berlipat kali ganda buat diri Anda. Dalam sehari-harian kehidupan kita, cuba kita lebihkan orang lain daripada diri kita sendiri.

Mulakan ianya daripada dasar dan permulaan dulu. Anda mulakan terlebih dulu di dalam institusi keluarga. Di rumah contohnya, sentiasalah membuatkan ibu, ayah dan adik-adik Anda merasa senang dengan kehadiran Anda. Gembirakan mereka, ringankan beban dan kesusahan mereka. InsyaAllah, semoga dengan kepayahan dan keikhlasan Anda dalam membantu mereka, akan sentiasa mendapat pandangan dan tempat di sisi ALLAH SWT.

Kita hidup ni bukan semata-mata untuk mengejar kejayaan peribadi, namun apa yang jauh lebih penting adalah sejauh mana besar dan banyaknya sumbangan kita kepada mereka.

Seberapa besarnya hasil yang kita bawa kepada masyarakat, sehebat mana usaha kita untuk manusia sekeliling… ha, kesemua itulah yang seharusnya menjadi nilaian pada mata kita.

Anda akan mampu untuk menjadi seorang manusia yang boleh dilabel sebagai manusia Berjaya, sekiranya anda Berjaya mencapai target dan aim yang Anda sendiri  tetapkan. Tetapi malangnya ramai di kalangan kita pada hari ini yang kerap kali meletakkan matlamat yang silap dalam hidup mereka.

“Saya mahu menjadi seorang yang kaya di dalam 10 tahun lagi, “ …. “ Aku nak pastikan bahawa aku berjaya menjadi seorang lawyer yang disegani di negara kita, “ .. Ya, saya setuju dengan kenyataan-kenyataan bersemangat daripada semua rakan-rakan kita itu. Namun, adakah sudah cukup untuk Anda meletakkan dan menggariskan matlamat dalam hidup seperti itu sahaja?

Berilah, sumbanglah, sentiasalah melebihkan orang-orang di sekeliling kita… walaupun untuk sekecil-kecil perkara. Carilah harta dengan penuh iltizam dan bersungguh-sungguh, niatkan dalam hati, mudah-mudahan lebihan kesenangan yang diperoleh nanti dapat dikongsi sama oleh semua keluarga, anak –anak dan isteri. Belajarlah bersungguh-sungguh, capailah impian yang besar-besar, moga-moga kejayaan itu mampu membangkitkan rasa puas dan kegembiraan yang tidak mampu diucap oleh ibu bapa Anda.