SALAM muhibbah dan salam penuh kecemerlangan buat anda.

Apa pun yang anda buat, segalanya perlukan kesungguhan. Tak ada ketekunan, tiada keberanian, segalanya payah nak jadi. Betul?

Seorang tukang kebun atau pun seorang petani tidak akan muncul  berjaya sebagai seorang petani yang hebat sekiranya dia bersikap sambil lewa dalam mengusahakan tanamannya.

Nak jadi seorang pekebun atau petani yang hebat, seseorang itu mesti memastikan setiap hasil tanamannya itu mendapat cukup baja dan nutrien. Bekalan air yang sempurna.

Macam tu juga kita ni, dik. Sebagai pelajar, seorang penjawat di jabatan kerajaan, seorang yang profesional sekali pun, segalanya perlukan kesungguhan, impian dan keberanian yang betul-betul kuat untuk menggapainya.

Tak kisah siapa pun kita, yang penting berani. Kalau kita rasa kita ni tak ada apa-apa, percayalah jika anda punya keberanian yang benar-benar kuat, segalanya tidak akan menjadi suatu yang mustahil.

Tak percaya? Cuba anda fikirkan suatu tempat-tempat yang tinggi, takut tak? Rasa gayat tak? Berdiri pula di sebelah tingkap, di balkoni barang kali. Cuba pula tengok ke bawah, dari tingkat sepuluh atau lebih gitu. Apa anda rasa?

Ya, mula-mula kita akan rasa sangat risau, amat takut untuk memandang ke bawah. Betul. Tapi, cuba anda buat ia lagi. Tenung aje lagi. Beranikan diri. Paksa diri untuk berbuat begitu dalam kira-kira sepuluh minit, lima belas minit atau setengah jam. Apa pula anda rasa? Lama-lama perasaan gayat, takut itu semuanya akan hilang.

All our dreams can come true, if we have the courage to pursue them – Walt Disney

Semua impian kita dapat menjadi nyata, jika kita memiliki keberanian untuk mengejarnya. Ya, saya suka kata-katanya. Buatlah apa pun kerja, kalau kita berani insyaAllah mudah hasilnya, dan berjayalah natijahnya nanti.

Selamat beroleh kejayaan.