HARI yang saya lalui semakin hari semakin mendekatkan saya kepada tarikh-tarikh akhir saya di sini. Setiap yang datang akan pergi, yang bermula juga ada akhirnya.

Kali ini, saya menulis bukan sekadar rasa luahan hati, bukan juga berbaur perasaan yang penuh dengan ketidak tentuan emosi. Saya gembira bercampur terharu. Apa yang saya peroleh selama mana saya berada di sini, akan saya cuba gunakan sebaiknya sebaik pulang bertugas di tanah air.

Bukan ilmu yang diperoleh di universiti sahaja yang bakal mendewasakan saya kelak, namun jauh di sudut hati, bahawa saya lebih terdewasa dan saya lebih matang dengan coretan-coretan warna warni sepanjang perlabuhan saya di perlembahan Nil ini.

Orang selalu sebut, kota ini penuh dengan cerita-cerita yang tidak enak untuk didengar. Namun bagi saya itulah yang dinama pelangi sebuah kehidupan. Pelangi itu penuh dengan campuran pelbagai warna. Ada yang merah, biru, jingga, kuning dan sebagainya. Tapi kesemua jalinan warna itu hakikatnya adalah sebuah aluran kesepakatan yang berasal daripada warna putih, sebelum diserakkan kepada warna-warna pelangi.

Tuan-tuan, puan-puan dan anda yang membaca, siapa pun kita di sini, apa pun gelaran kita, satu perkara perlu diingat iaitu hidup ialah suatu ‘perjudian’.

‘Perjudian’ yang saya sebut di dalam hidup ini sebenarnya wajib mematangkan kita dalam mengenal apa itu sebenarnya yang disebut sebagai hidup. Hidup ni, dik tak sentiasa sama dengan apa yang kita harapkan.

Hari ini kita impikan A, tidak bermakna A jugalah yang bakal menjadi milik kita. Tidak, kak. Anggap sahaja dunia ini penuh dengan seribu satu makna yang tidak pernah tertafsir dek akal. Kita sebagai manusia, yakin, percaya dan teguh berdiri bahawa apa yang diberi Allah pada kita, itulah yang terbaik.

Dia tidak memberikan sesuatu itu kepada kita dengan sia-sia, pasti ada hikmah dan kebaikannya.

Saya gembira enam tahun di sini. Saya akan terus  menghargainya. Ia adalah sebuah anugerah. Apa pun yang diberi olehNya, itu jugalah yang terbaik buat saya sebagai hambaNya. Alhamdulillah.