APA khabar semua? Anda yang membaca, anda yang sedang berehat, yang tengah dok berangan, yang sedang berbahagia, yang sedang murung-murung pun sama, saya ucapkan selamat ceria, salam ketenangan dam semoga sihat-sihat selalu.

Untuk apa kita bersedih, kak? Kenapa kita nak masam-masam, sebab kita dah diberi dengan dua pilihan. Nak happy atau nak moody? Pilihlah, dik. Kalau anda nak jadi orang yang stress, anda boleh. Stresslah sana. Kalau anda nak rasa luar biasa semangat aje sentiasa, anda pun boleh. Anda yang pilih.

Kadang-kadang, dalam syok-syok tengah berehat, kita mungkin akan terfikir bahawa sempurnakah aku ni? Baikkah aku ni pada mata orang, pada pandangan Tuhan? Pernah kan terfikir macam itu?

Saya sendiri selalu juga terfikir, terkenang, dan terimbau betapa banyak dosa dan kesilapan yang saya lakukan selama ini.

Ya, namanya manusia itu memang tak sempurna. Manusia ini diciptakan memang untuk kita belajar. Kita sentiasa menuju ke arah kebaikan. Setiap orang pernah melakukan kesilapan, kegagalan dalam hidup. Betul?

Dan sejauh mana kita hadapi kejatuhan itu, maka di situlah letaknya kehebatan kita. Jangan kata kita hebat kalau kita sedang berada di atas. Yang di atas itu bila-bila boleh diturunkan nikmatnya oleh Dia.

Tak boleh juga sebut bahawa kita telah gagal, andai kita telah melakukan kesilapan dan dosa yang besar dalam hidup, kerana itu semua adalah pelajaran daripada Tuhan supaya kita menjadi manusia lebih hebat pada masa hadapan.

Tanamkanlah dalam diri sentiasa bahawa kita ini adalah seorang hamba musafir. Seorang musafir dia tak pernah berasa selesa. Di mana, bagaimana pun dia berada, dia akan sentiasa berusaha membangun dan mencemerlangkan dirinya.

Saya menasihatkan anda, saya juga sedang memberi perangsang buat diri saya. Sama-sama kita berusaha untuk menjadi terbilang.