DALAM cinta itu ada madu. Dalam cinta juga ada racun. Dialah manis, dia jugalah hempedu. Hanya yang merasa saja yang mengetahui dan memahami akan rasa sebuah alam percintaan itu.

Pupuklah sifat malu dalam bercinta. Kalau anda sedang bercinta, perlu sentiasa ingat bahawa cinta yang hakiki adalah kepadaNya. Siapa dan apa yang sedang kita cintai ketika ini hanyalah berstatus pinjaman dan sementara. Tak kekal, kak, bang, dik.

“Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Betul, kat mana-mana pun kita boleh lihat. Ada wanita yang memang pemalu. Jalannya tunduk aje. Tak kurang itu, ada juga yang terlalu tidak ambil kisah. Aurat dan cara pemakaian langsung tidak pernah dititik beratkan. Yang penting, dilihat anggun. Selalu kan jumpa mereka yang macam ni?

Wanita ni bila berpakaiannya sopan, menutup aurat, akan dilihat manis. Akan dipuji akan kesantunannya. Pasti juga akan dikagumi oleh ramai orang.

Yang berpakaian menjolok mata dan seksi pula akan mudah untuk diberi perhatian oleh kaum lelaki. Biasanya macam ni. Mereka yang macam ini tidak sama sekali dikagumi oleh golongan lelaki, tetapi hanya bakal digodai oleh mereka sahaja.

Jadi, dalam alam percintaan ni dik, tanam dan semaikanlah perasaan malu sesama pasangan. Yang sudah berkahwin itu tak apa. Maksud saya ini adalah kepada anda yang masih belum berumah tangga. Yang belum halallah senang ceritanya. Jagalah batas-batas anda. Haram tetap haram. Dan halal juga tetap halal.

Kalau rasa dah banyak buat dosa selama ini, tak apa, dik. Allah itu Maha Pengampun. Minta maaf, bertaubatlah kepadaNya, insyaAllah Dia akan terima taubat kita.

Saya teringat suatu sabda baginda SAW yang bermaksud, “setiap manusia itu pasti melakukan kesilapan, dan sebaik-baik mereka adalah yang melakukan taubat.”

Semoga ikatan cinta, tautan kasih, tali perhubungan yang dibaja itu menjadi jambatan untuk kita mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Selamat bercinta!