SATU dunia kini sibuk berbicara tentang Piala Dunia. Bahangnya kian menuju ke penghujung. Antara Sepanyol atau Belanda yang akan dinobat sebagai Raja Bola Sepak untuk edisi kali ini.

Dalam kesempatan saya menonton aksi-aksi perlawanan Piala Dunia kali ini, termasuk yang terakhir antara Jerman dengan Sepanyol pada separuh akhir tempoh hari, saya melihat trend dan taktik permainan semakin berubah.

Permainan Jerman tempoh hari juga agak lesu. Mereka tidak bermain seperti sebelum-sebelum ini. Dengan England, mereka ‘bantai’ 4-1, Argentina mereka belasah 4-0, jadi saya sendiri sebelum perlawanan sepak mula, menjangkakan Sepanyol adalah mangsa seterusnya, rupanya tidak.

Kelemahan Jerman dalam perlawanan itu hanyalah tumpuan. Mereka mungkin agak leka dalam akhir-akhir minit menjelang wisel penamat. Dan kealpaan ini berjaya dihukum oleh Puyol. Dalam bola sepak, kelekaan sedikit sahaja boleh mengundang padah. Dan ini yang saya lihat pada pasukan Jerman.

 Anda tahu sejarah Sepanyol?

 SAYA tergerak pula nak berkongsi sedikit tentang bagaimana cerita-cerita lama kerajaan Sepanyol ni. Yalah, dulunya kita sendiri pernah mendengar bagaimana kerajaan Islam juga pernah bertapak di sana. Namun kini semuanya sudah menjadi warisan sejarah. Betul?

Semasa pemerintahan Bani Umaiyyah, bandar-bandar seperti Cordova dan Granada telah menjadi pusat keilmuan dan kesenian agama Islam. Namun, kerajaan-kerajaan Kristian berjaya menjajah semula bandar-bandar di Sepanyol pada abad ke-15.

Anda sendiri tahu bukan bagaimana kerajaan Sepanyol juga pernah berusaha untuk meluaskan jajahannya sehingga ke kawasan Asia, juga di kepulaun-kepulauan melayu?

Jelasnya, kerajaan Sepanyol berjaya menjajah wilayah-wilayah Amerika dan Asia pada zaman penjelajahannya yang telah membawa kekayaan dan kuasa politik kepada mereka. Namun, era kegemilangan ini mulai berkurang dan kian merosot menjelang abad ke-20.

Gerakan republik dan antimonarki telah menghalau keluar Raja Alfonso XIII, dan mereka mendirikan Republik Sepanyol. Jeneral Francisco Franco, kemudiannya dengan sokongan Fasis Itali dan Nazi Jerman berjaya merampas kuasa dalam Perang Saudara Sepanyol 1936-1939.

Juan Carlos I kemudiannya menaiki takhta dan meneruskan monarki Sepanyol selepas Franco meninggal dunia pada 1975.

Kenapa perlu tahu sejarah?

 SAYA tahu ramai di kalangan anda yang akan bertanya mengapa saya suka bercerita soal-soal sejarah ni?

Kak, bang, dik, adanya kita pada hari ini adalah rentetan daripada orang, manusia-manusia dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum kita. Sejarahlah yang membantu untuk kita menjadi seperti mana kita hari ini.

Tanpa ibu yang melahirkan, siapalah kita? Tanpa guru yang pernah mendidik kita suatu masa dulu, di mana kita hari ini? Tanpa kehebatan-kehebatan pahlawan melayu kita dulu, macam mana dengan negara kita saat ini?

Tak pernah rugi kita mengetahui sejarah. Dengan sejarah, kita mengetahui banyak perkara. Dan dengan itu kita akan belajar untuk lebih bersyukur di atas segala nikmat kita pada hari ini.