HARI ini saya nak sambung petua-petua untuk kita kenal siapa pasangan kita. Untuk apa punlah hal dalam urusan kehidupan kita ni kak, kita mesti ada matlamat dan tujuannya. Mengejar cita-cita itu tak akan sampai andai matlamatnya tak jelas. Mengejar cinta pun macam itu. Kalau matlamatnya tak nampak, tak jadi.

Nak menjadikan supaya apa yang kita inginkan itu menjadi suatu yang realiti, segalanya perlu ada perancangan. Siapa pasangan kita, di mana kelemahannya, apa pula kelebihannya, itu semua perlu untuk kita tahu supaya bahtera yang dilayar kelak berkekalan, insyaAllah.

Kita sambung lagi cerita kita sebelum ini yang tertunggak. Untuk mereka yang lahir pada bulan Jun, orangnya itu sukar melukai pasangannya dan amat memahami. Kalau dia perempuan, dia amat pandai menjaga hati pasangannya. Orangnya juga mudah jatuh hati tetapi terlalu memilih, cerewet dalam berhubungan, selalu beremosi, mudah merajuk dan mudah pula dipujuk. Lagi? Mereka juga biasanya amat elok untuk menjadi seorang ibu yang baik, sering melindungi pasangan daaripada kritikan orang dan juga mereka sering dahagakan pujian daripada pasangannya.

Orang yang lahir pada bulan Ogos pula, orangnya pandai memujuk pasangan, romantik, pengasih dan penyayang. Kadang-kadang tu, mereka yang lahir bulan lapan ni agak kelam kabut dalam perhubungan, sangat sensitif dan agak mudah juga meluahkan kata cinta kepada sesiapa.

Anda yang lahir bulan November pula macam mana? Orang bulan sebelas ni pula amat cermat dan teliti dalam menjaga perhubungan, amat berahsia dengan pasangan dan juga sesiapa, agak degil dan kuat pendiriannya, emosinya juga agak mendalam. Mereka juga ni dik, orangnya amat mudah ambil berat terhadap pasangan, namun sikapnya ini kadang-kadang amat susah untuk diramal oleh pasangan.

Yang terakhir pula ialah mereka yang lahir pada bulan Disember. Anda yang ada pasangan lahirnya bulan dua belas ni kena tahu bahawa mereka ni biasanya benci bila dikongkong. Jadi beri sedikit kebebasan. Mereka juga biasanya seorang yang pemurah dalam perhubungan, namun agak tergesa-gesa dalam perhubungan, mudah juga jatuh cinta dalam masa yang sama, suka mempengaruhi pasangan dan suka didampingi oleh pasangan.

******

TUAN, puan, kak, bang, dik, anda semua yang membaca, siapa punlah kita ni, hebat tahap apa pun kita, dalam percintaan, kita tak boleh letakkan diri kita di atas sentiasa. Sesekali letakkan diri kita di bawah, biarkan pasangan kita merasa sedikit dihargai, sedikit tersanjung.

Berilah pujian. Hadiahkanlah kata-kata manis. Kerana dalam bercinta, pujian itu adalah penawar bagi segala ubat. Kita bukan yang terbaik, tapi berusahalah untuk menjadi yang terbaik buat pasangan kita, buat diri kita, buat Allah yag Maha Esa.