DUA perkara yang kita mesti ingat dalam menjalani hari-hari kita ialah.

  1. Mengasihi dan membuat baik kepada manusia sekeliling.
  2. Rendah diri dan tidak bongkak dalam menjalani hidup.

 Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). (al-ankabut : 39)

Kita pernah mendengar bagaimana bongkaknya Firaun dan Qarun dalam menjalani kehidupan mereka. Bagaimana semua harta kekayaan dan kekuasaan yang mereka miliki menjadikan mereka lupa akan siapa diri mereka. Mereka lupa siapa Tuhan. Mereka juga alpa siapa pencipta mereka.

Kita bukan yang terbaik. Kita juga bukanlah yang paling sempurna di atas muka bumi ini. Andai anda merasakan anda adalah manusia yang paling hebat di alam ini, nescaya anda akan menjadi bongkak. Percayalah di dalam hati bahawa anda boleh dan anda mampu untuk menjadi yang terbaik buat diri anda.

Tetapi anda tidak boleh yakin bahawa andalah paling hebat di dunia ini. Hebat macamana sekali pun kita. Kita masih punya Raja sekalian alam.

Siapa pun kita di alam ini. Pemimpin, ketua, golongan terkenal, bangsa yang diagung-agungkan oleh masyarakat, kita tetap berada pada nilaian yang sama di mata Allah. Hanya iman dan takwa saja yang membezakan siapa kita pada pandangan Maha Pencipta.

Selagi kita punya nikmat, maka berbuatlah baik kepada masyarakat sekeliling kita. Mana-mana yang memerlukan bantuan, maka hulurkanlah pertolongan kita. Hari ini mereka sedang berada di bawah, esok lusa mungkin pula giliran kita.

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (Ali-Imran : 134)

3 perkara asas untuk kita buang sikap riak dan takabbur:

  1. Ingat sentiasa bahawa kita semua sebagai manusia diciptakan daripada segumpal darah benih lelaki dan perempuan yang seakan tidak bernilai. Tidak ada siapa yang lebih istimewa antara satu sama lain.
  2. Hebat macamanapun kita, anggaplah bahawa tidak ada manusia yang mampu melawan kehendak Tuhan iaitu Maut. Semua manusia akan menghadapi saat itu. Jika kita mampu jadikan ini sebagai amanat di dalam panduan hidup kita, segala yang kita lakukan akan sentiasa beringat dan bertuju kepadaNya.
  3. Dunia ini hanya berstatus pinjaman. Cuba ingat semula bagaimana dulunya sejarah keturunan datuk dan nenek kita. Bagaimana Adam dan Hawa dicampakkan ke atas muka bumi ini. Kita ini hanya meminjam untuk duduk seketika di bumi ini. Maka itu, kejarlah alam kekal di sana nanti, alam akhirat yang abadi.

 Selamat beramal, selamat bermotivasi.