MENEMPUH alam percintaan itu sendirinya memerlukan keserasian. Dan kesatuan yang kukuh ini melambangkan penyatuan dua hati menjadi satu. Persoalannya, boleh ke nak jadikan sesebuah alam cinta itu seperti ini. Boleh ke kak, bang, dik?

Hidup bercinta ni, sentiasa memerlukan pengorbanan, kesetiaan dan paling penting ialah saling memahami antara satu sama lain. Tak ada semua ni, biasanya cinta itu akan terhenti di tengah jalan. Bukan namanya cinta kalau tak ada semua faktor ini.

Hari ni saya nak kongsi petua-petua macam mana kita nak kenal pasangan kita. Benda ni nampak macam remeh. Tapi sebenarnya, dik,  kalau kita abai-abaikan selalu, benda-benda nilah yang akan menyumbangkan kepada salah satu faktor keruntuhan sesebuah cinta itu. Betul, bukan kepada yang belum berkahwin saja, yang sudah berumah tangga lebih-lebih lagi.

Ikut kajian psikologi, setiap manusia yang dilahirkan mempunyai sikap yang berbeza mengikut kriteria-kriteria tertentu. Ada yang berdasarkan tarikh kelahiran, ada mengikut bentuk muka, kawasan lahirnya, tahun apa lahirnya, bilangan ahli keluarga, latar belakang famili, bentuk tanda tangan dan sebagainya. Kesemua ini memainkan peranan dalam menentukan siapa pasangan kita itu. Jadi, penting untuk tahu semua ni. Jangan kata tak penting.

Mula-mula, saya kongsikan petua untuk kenal pasangan kita yang lahir pada bulan empat. Macam mana agaknya rupa mereka yang lahir bulan empat? Orang yang lahir pada bulan April ni, orangnya amat sukar untuk jatuh cinta. Dia amat susah untuk meluahkan isi hatinya kepada pasangan. Mereka lebih banyak memendam perasaan mereka.

Apa lagi? Orang lahir bulan empat juga sangat pandai memujuk pasangan, bersifat terlalu romantik, sangat setia kepada pasangan, sentiasa ingin diberi perhatian dan amat cemburu dalam percintaan. Anda yang punya pasangan seperti ini, maka ambillah pengetahuan yang lebih. Orang pun selalu sebut, tak kenal maka tak cinta. Maka nak cinta itu, kena kenallah betul-betul. Ya tak?

Baiklah. Macam mana pula mereka yang lahir pada bulan Julai? Orang yang lahir bulan tujuh ni amat suka didampingi oleh pasangan, sentiasa menjaga maruah diri, sangat menghargai pasangan, berterus terang, suka mendengar dan tidak suka membantah. Lagi? Mereka juga mengambil berat dan mengasihi pasangan, amat suka merajuk dan minta dipujuk, setia dan cemburu kepada pasangan.

Orang bulan September pula macam mana? Mereka yang lahir pada bulan sembilan ini selalunya sangat sensitif dan emosi, suka mengkritik pasangan, suka berterus terang jika sesuatu perkara itu kurang dipersetujuinya. Namun, mereka juga sangat bertolak ansur dengan pasangan, amat prihatin kepada pasangannya, pandai memahami pasangan, kurang menunjukkan perasaan kepada pasangan, dan sukar melupakan sekiranya hati terluka.

Bulan sepuluh pula? Mereka yang lahir bulan Oktober pula biasanya, dik, orang yang suka berkomunikasi dengan pasangan, suka disayangi dan menyayangi pasangan, jujur dan amat jarang berpura-pura terhadap pasangan, mudah terluka sekiranya pasangan melakukan kesalahan, terlalu cemburu, emosinya juga mudah terusik, memahami pasangan dan kadang kalanya sukar menerima pandangan pasangan.

Kak, bang, dik. Anda yang telah bersuami, yang sudah beristeri, yang sedang bercinta, yang akan bercinta suatu masa nanti pun tak apa, jadikanlah petua-petua ini sebagai panduan kita. Bukan untuk kita percaya seratus-peratus, bukan untuk kita telan bulat-bulat, tapi sekadar kita jadikan nasihat dalam hidup kita. Elok kan macam tu. Tak salah bukan?

“Hidup dalam cinta itu amat manis, tapi lebih manis andai ada bersamanya Tuhan dalam melayari bahtera itu.”