SUATU pagi yang mendamaikan. Semua mahasiswa mahasiswi di Kota Mesir sedang enak dibuai mimpi. Cuasa peralihan antara musim dingin dan musim panas amat menyegarkan. Sepoi-sepoi angin membuatkan sesiapa sahaja yang terlena, akan terus dibuai tidur.

“Krriiiiing!!!”

Tiba-tiba deringan loceng berbunyi. Bertalu-talu. Berulang-ulang kedengaran. Seluruh penghuni Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah terjaga. Yang betul-betul lena, memang tak terjaga, tapi yang mudah peka kepada deria bunyi memang akan mudah terjaga.

Tidur saya terjaga. Deringan itu menyedarkan saya daripada lena. Haih, siapa pulaklah masak ni, gumam saya sendiri.

Biasanya, bunyi loceng di mana-mana aras Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah menandakan bahawa sistem keselamatan di bilik berjaya mengenal pasti asap. Ini yang lazim diceritakan. Jadi, siapa yang masak, yang mana asapnya naik sampai ke atas siling, maka akan berbunyilah loceng. Satu aras kedengaran. Ini sebenarnya merupakan sistem keselamatan kecemasan semasa berlaku kebakaran.

Pagi itu loceng berbunyi lagi. Aduhai. Sangat mengganggu. Sudahlah kira-kira 2 jam lagi saya perlu bangun untuk ke kuliah. Tidur yang terganggu ini boleh saja mengganggu tumpuan semasa di kelas nanti.

“Krriiing… krriiingg… krriiing!!!”

Loceng terus berbunyi. Berdering dan berdering. Sangat kuat. Begitu nyaring. Ah, sangat kacau pagi itu. Sekejap-sekejap saya bangun. Risau andai benar-benar berlaku kecemasan atau perkara-perkara yang tidak diinginkan.

Begitulah ia berulang dan berulang. Rupa-rupanya sistem loceng keselamatan pagi itu menghadapi sedikit masalah. Jadi ia berbunyi selama kira 20 minit, tanpa ada sesiapa pun yang masak atau pun hal-hal kecemasan. Kerana itu juga, tidur saya benar-benar terganggu. Sehari itu juga tumpuan saya di kelas lari. Dua jam yang sepatutnya saya ada untuk tidur berehat, saya habiskan dengan tidur-tidur ayam. Terganggu dek deringan loceng itu.

********

KITA selalu mengeluh lantaran masalah-masalah dan kesusahan yang menimpa kita. Tapi kita sendiri jarang untuk bersyukur, tak selalu kita mengira betapa banyak kesenangan yang dah sedia ada pada kita.

Bila kita berasa sedih kerana kita diciptakan sebagai seorang yang kurang berjaya, kita jarang untuk mengingat semula betapa ramai lagi mereka yang jauh lebih susah hidupnya daripada kita.

Tatkala kita rasa kita tak ada kelebihan berbanding orang lain. Kita tak selalu fikir bahawa kawan-kawan kita ramai lagi yang nak masuk ke universiti pun susah. Sedangkan kita dah jauh berada di atas.

Sama juga kisah saya di atas, saya berasa bahawa gangguan loceng terhadap tidur saya itu adalah masalah besar kepada saya.

Namun saya jarang untuk mengingat bahawa betapa ada insan-insan lain ketika ini yang dilahirkan dengan tanpa deria pendengaran. Nak dengar suara sendiri pun tak mampu. Betapa masih wujud manusia hari ini yang sedang ditarik nikmat mendengar oleh Allah SWT.

Subhanallah. Alhamdulillah. Mari kita bersyukur.