MOTIVASI itu sendirinya ialah nyawa. Tak ada motivasi maknanya tak adalah semangat untuk  menjalani hari-hari kita. Orang yang motivasinya menurun, yang semangatnya tidak ada, umpama mayat yang hidup. Dia berjalanlah ke mana-mana, dia tujulah kat mana-mana,  tak ada pun hasil yang dilakukan. Segala perkara yang dibuat, rasa susah aje, rasa tak betul aje natijahnya.

“Man, kau ni sakit ke?”

“Eh, takdelah. Aku sihat ni haa.”

“Aku tengok kau macam tak berapa sihat je. Kalau kau sakit, gitau jelah aku,”

“Alah, aku kalau bagitahu kau pun bukannya kau boleh tolong aku,”

“Lor, kau ni. Aku cakap ni betul-betul. Bos kita tu ha, asyik-asyik komplen hasil kerja kau je. Dia betul-betul tak puas hati kau tahu tak, dengan kerja kau?”

“Eleh, biarlah dia. Asal aku tak diberhentikan kerja sudah,”

Kak, bang, dik. Kita kalau ada masalah, kita kalau ada problem, kita kena cari punca masalah tu. Masalah tak boleh disimpan. Selagi disimpan, ia akan menjadi masalah dan masalah itu akan terus menggagalkan setiap usaha kita seterusnya.

Tengok macam kawan kita Man tu. Dia ada problem tapi dia tak tahu pun yang dia sebenarnya ada masalah. Dia rasa dia okay aje. Dia selesa aje dengan gaya hidupnya yang macam itu. Mana boleh macam ni, bang.

Orang yang paling malang dalam hidup adalah mereka yang tidak tahu bahawa mereka sedang dilanda masalah. Ini yang masalah. Dia ada masalah, tapi dia sendiri yang tak tahu bahawa dia ada masalah. Haih, masalahmasalah.

Jadi, apa pun masalah yang kita hadapi, kembalilah kepada punca masalah. Dan biasanya masalah yang timbul ini ialah sebab kita gagal gunakan motivasi dalaman kita.

Kita jadi bermasalah sebab kita tak ada semangat. Bila anda ada motivasi, jika anda punya semangat yang benar-benar kuat, apa pun lah masalah yang dihadapi, anda akan berjaya menempuhnya dengan secemerlang yang mungkin.

Dapatkan motivasi anda. Suntiklah ia di mana-mana, semoga anda menjadi manusia yang gemilang dan terbilang.