KETIKA tangan saya menekan-nekan, menulis-nulis tulisan ini, jam menunjukkan ke angka kira-kira sebelas malam. Macam biasa, bumi kinanah sedang ditemani angin-angin perubahan musim ke era musim panas. Bulan lihatnya tegak berdiri dengan purnama yang penuh.

Siang tadi cuaca agak tenang, jika dibanding dengan hari-hari semalam. Angin yang bertiup tidaklah sehangat, tidak juga sebahang semalam-semalamnya. Gerak langkah yang dihayun juga terasa amat dipermudah oleh Sang Maha Pencipta. Alhamdulillah.

“Inniharadah, ma fisy dars, kullukum ruhti el-ayyan wi hudthi sheet nafsuh,” (Hari ni tak ada kelas. Kamu semua perlu pergi ke katil pesakit dan ambil history)

Doktor Nuha memberi arahan. Di kala cuaca yang kian membahang, udara yang serasa sentiasanya tidak menyelesakan, duduk di dalam rumah, di bawah pusingan ligat kipas angin dilihat lebih enak untuk dilaksanakan. Justeru, semua mahasiswa yang hadir mengharapkan kelas-kelas pengajian dapat diselesaikan dengan secepat yang mungkin.

Mujur Dr Nuha memahami. Sebaik mengambil history daripada patient, kami semua dibenar pulang.

Pesakit saya hari ini adalah seorang remaja berusia 13 tahun. Shaima Ramadhan namanya. Dia mengalami sakit yang teramat sangat di bahagian bawah perut sejak kira-kira 3 bulan yang lalu. Sakitnya itu berlaku secara berulang-ulang dan tidak disertai dengan pendarahan daripada vagina.

“El-waga’ dih, bitihsol izzay, yakni bitihsol marrah wahdah, au la’a? (sakit ni rasanya macam mana. Ia datang sekali gus, atau datang pergi?) Soal saya.

“Hikayah dih bitihsol talat marrat lighayit dilwakti,” (Ia datang tiga kali setakat ni. Kejap sakit, kejap tak) balas Shaima ringkas.

Beritahu juga ibunya bahawa Shaima  mengalami sakit itu secara berulang-ulang, terutama pada waktu yang sepatutnya dia didatangi haid. Hasil pemeriksaan doktor di hospital dan juga melalui beberapa ujian, doktor mendapati Shaima mengalami imperforate hymen iaitu selaput daranya yang menutup vagina dengan lengkap dan ini telah menghalang pengaliran keluar darah haid.

Justeru pesakit akan mengalami sakit yang teramat sangat disebabkan pengumpulan darah dan cecair haid di dalam rahim.

Shaima diletakkan di hospital itu untuk beberapa hari bagi persediaan untuk menjalani pembedahan bagi mengatasi masalah imperforate hymennya.

Tuan-tuan dan puan-puan, cerita saya ini adalah sekadar memberi perkongsian bersama. Tak lebih daripada itu. Sekadar memberi anda dan saya sedikit saja rasa untuk menghargai setiap nikmat yang telah sedia Allah beri pada kita. Ramai orang di luar sana yang sedang diuji. Betul?

Kita yang sihat-sihat, yang penuh dengan nikmat ni maka itu bersyukurlah.

Alhamdulillah.