KOTA Kaherah terik. Bahang matahari menyimbah-nyimbah ke merata tempat, ke seluruh penjuru Perlembahan Nil. Bacaan suhu menunjukkan angka 43 darjah celsius.

Hari ini adalah hari yang amat mencabar bagi saya. Bukan saya sahaja rasanya, bahkan semua yang sedang berada di kota kinanah ini pasti merasakannya. Kota Mesir membakar seluruh penduduknya dengan bahang musim panas yang kian meluap-luap.

Kelas habis sekitar jam satu tengah hari. Azan Zuhur kebetulan merdu, tenang dilaung-laungkan. Ratusan menara di sini bersahut-sahutan mengiramakan laungan ajakan menghadap Yang Maha Esa. Saya tersenyum sendiri.

Serasa tidak disangka bahawa telah enam tahun saya berada di tanah ini. Mencari sedikit ilmu, meraih secebis panduan, merungkai-rungkai segala isi kalam Tuhan. Saya sangat gembira. Terharu berbaur syukur.

Alhamdulillah, Subhanallah, Maha Suci Engkau yang memberi segala hidayah!

Panas ini adalah ujian untuk saya. Bahang ini ialah utusan-utusan akhir buat saya memperbaiki segala kelemahan diri. Semua ini adalah panduan buat saya menjadi lebih baik.

Hari ini saya belajar 3 perkara untuk menempuh cabaran hebat dunia ini :

  1. Ujian hanya permainan silap mata untuk mengaburi mata saya. Kuat atau pun tidak saya mendepaninya adalah bergantung sejauh mana kekuatan dalaman saya.
  2. Masa depan saya saya adalah seratus peratus berharap pada redha dariNya. Kalau Dia kata ya, andai Dia meredhainya, pasti ia akan berlaku. Namun andainya tiada redha dariNya, maka tidaklah ia.
  3. Dunia adalah medan buat saya sentiasa meningkatkan nilai karakter dan kekuatan mental saya. Saya perlu sentiasa kuat. Hebat dalam melawan nafsu, halangan, susah, payah, jerih dan segala yang menghalang jalan-jalan saya menuju ke arah kecemerlangan. Dari situ, saya akan sentiasa meningkatkan keupayaan saya ke suatu tahap yang lebih tinggi.