SALAM luar biasa hebat semua. Salam tuntas. Salam ceria. Dan semoga semuanya berada pada keadaan yang paling sihat hendaknya. Apa khabar anda? Apa cerita jiran anda? Apa buat kawan-kawan anda ketika ini?

Bagi yang tinggal di dalam kawasan perumahan, budaya bersaudara, adat berjiran ini memang dah biasa kita amalkan. Saling bertegur, saling bertanya khabar. Betul?

Tapi masalahnya tak semua yang macam ni. Ada orang tu dia hidup dalam dunia dia aje. Dia syok dengan hidup dia sendiri. Apa orang nak kata, ha lantaklah. Aku ialah aku. Ada kan orang macam ni?

Dari Sa’id bin Abu Sa’id dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu dia berkata; saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa ingin dibentangkan pintu rezeki untuknya dan dipanjangkan ajalnya hendaknya ia menyambung tali silaturrahim.” (Shahih Bukhari)

Bersendiri itu tak salah, dik. Tapi yang tak bolehnya ialah awak menolak sahabat, menjauh dari teman-teman. Orang nak berkawan dengan awak, kawan ajelah. Jangan jual mahal. Kalau agak-agak mereka yang nak diajak kawan tu macam tak senonoh, jangan nak lari. Salah tu.

Ingat dik, kalau awak yang baik-baik ni nak jauhkan diri daripada mereka yang dikata tak elok tu, awak nak harap siapa untuk betulkan mereka?

 Jadilah kita angin, kak , bang, dik. Angin dalam maksud saya ini ialah angin yang merubah. Ia datang, ia lalulah ke mana-mana, ia pasti akan membawa perubahan. Pokok yang asalnya diam, akan bergoyang, daun yang mulanya diam-diam aje, jadi gugur.

Kita pun macam tu. Hidup dalam dunia ni kan memang matlamatnya untuk membahagiakan diri kita di samping memimpin jalan indah buat orang lain. Hari ini kita bantu mereka, esok lusa Allah mesti buka jalan buat kita.

Luaskanlah jaringan anda. Tebarkanlah sayap-sayap anda. Berkawan biar beribu, bersahabat pun biar beribu, itu tak apa. Tapi bercinta mesti satu, jangan pulak nak mengada-ngada.

Salam sahabat daripada saya!