Harapan setinggi gunung, berderai menjadi debu,

Mengapakah kisah sedih, yang selalu kualami,

Kupercaya padamu, dengan sepenuh hatiku,

Engkaulah cahaya, menerang jalan hidup,

 Tapi kau permainkan, engkau sakitkan hatiku,

 Sengaja kau bermesra, dengan dia teman barumu.

PERNAH dengar lagu ni, bang? Kak, biasa tak dengar lagu ni? Ha, biasanya anda yang sudah berkahwin, yang biasanya mengalami alam-alam percintaan kira-kira zaman 70 atau 80-an gitu, mesti biasa dengan lagu ni. Hatiku luka lagi, nyanyian Blag Dog Bone. Pernah kan?

Jadi bang, kak, adik-adik semua, dalam kita mengejar cita-cita, matlamat dan impian, perkara-perkara macam ni memang biasalah dalam liku-liku kita ke arah itu. Jangan kata awak dah berjaya kalau awak belum lagi dihidang dengan jatuh, kalah, dan kesusahan. Itu lumrah, kak.

Ada orang, kisah-kisah sedihnya itu menjadikan dia lebih kuat, menjadikan dia lebih bersemangat untuk bangkit dalam hidup. Ada orang lain pula ceritanya, bila dihadapkan dengan masalah-masalah macam ni, dia jadi jatuh. Jatuh tak apa, bang.

Yang tak bolehnya ialah jatuh dan terus jatuh. Jatuh sekali, anda bangun, itu tak apa. Jangan jatuh tapi anda tak terus bangun. Duduk dan terus mengalah.

Jatuhlah sepuluh kali, selagi anda mampu bangkit, selagi anda kuat untuk bangun semula daripada kejatuhan itu, anda belum dikira seorang yang gagal. Jatuhlah berpuluh kali, dan bangunlah daripada setiap kali jatuh itu. Anda pasti berjaya. Percayalah!