HARI ini saya hadiri round untuk urosurgery. Kelas dijadual sepatutnya bermula jam 9.30 pagi. Saya tiba lewat sedikit. Jalan sudah agak sibuk. Lepas saja lapan pagi, kebiasaannya sesiapa pun akan mula terperangkap di kesibukan kota Kaherah.

Mujur jarak Malaysia Hall dan Hospital El-Demerdesh tidak begitu jauh. Cukup sepuluh minit, saya tiba di sana. Sudah ada seorang mahasiswa Malaysia tiba. Tidak lama kemudian, seorang yang lain tiba. Kami berempat semuanya. Semuanya pelajar Malaysia.

Jam berganjak pula ke angka sepuluh pagi, apabila seorang doktor tiba.

“Ini saja yang datang?”

“Ya, doc.”

“Berapa sepatutnya yang hadir?”

“Dalam 75 orang gitu?”

Si doktor tersenyum.

“Tak apalah, kamu semua memang bagus. Kita teruskan aje,”

Sudahnya, kelas untuk urosurgery tadi hanya dihadiri oleh 4 pelajar sahaja. Semuanya dari Malaysia. Kebetulan, dalam batch saya memang ada 4 orang mahasiswa Malaysia lelaki. Bermakna, semua mahasiswa Malaysia hadirkan diri. Dan yang Mesir-mesir itu semuanya ‘menghilang’.

Lazimnya, beginilah cara dan budaya pembelajaran mahasiswa-mahasiswi di sini. Menjelang saja musim peperiksaan, kelas-kelas dan round-round akan mulai kosong. Tak ramai yang hadir. Masing-masing mulai menelaah sendirian di rumah. Membaca sendiri lebih bermanfaat bagi mereka.

Bagi anda di luar sana, fikir-fikirkan, renung-renungkanlah situasi ini. Semoga kita semua menjadi manusia yang sentiasa memikir, bertindak dan menjadi golongan yang beruntung di muka bumi ini.