MENGENANG kisah-kisah dulu sering mengimbaukan kita kepada kenangan-kenangan silam. Yang menarik, yang best-best kalau nak diingat memang rasa seronok. Tapi yang pahit-pahit tu kalau nak dikenang, jadinya pasti sedih.

Tak ada orang yang mahu kisah pahit di masa silamnya dipertontonkan kembali. Yang dah berlaku, maka biarlah ianya berlalu. Dah lepas tu, biarlah ia terus melepas. Macam air  mengalir di dalam sungai gitu. Sekali ia berlalu dari hulu, ia akan terus menuju ke hilir, terus ke muara dan menghanyut ke lautan.

Walau banyak mana pun halangan, cabaran, dugaan dan rintangan yang meniti di sepanjang perjalanan, air itu akan terus mengalir. Matlamat, tujuan dan impian yang diimpi akan terus dikejar sampai tercapai.

Jadi, kita yang hidup ni pun macam tu sepatutnya. Jangan dikenang perkara yang sudah berlalu. Tak guna barang yang lepas diingat-ingat lagi. Tak elok macam tu.

Ya, memang ada orang yang suka mengimbau-ngimbau kenangan masa lalu. Yang sudah berumahtangga barangkali, dengan mengingat kenangan-kenangan manis dan hangat semasa bercinta, kekadang itu mampu mengembalikan kehangatan di dalam rumah tangga. Rumah tangga rasa harmoni aje. Aman aje rasa.

Yang masih menuntut pun sama, mungkin kenangan-kenangan pahit di masa lampau, peristiwa kegagalan sebelum ini, akan menjadi pembakar semangat untuk anda berusaha lebih gigih lagi mengejar cita dan impian.

Jadi tuan puan semua, apapun yang membuatkan kita teringat-ingat kisah lalu itu, maka jadikanlah ia suatu semangat dan dorongan untuk kita lebih maju. Dan bukannya kegagalan.

Jangan kenangan-kenangan itu membuatkan kita lebih jatuh dalam hidup. Apa yang berlaku dan apa bakal terjadi pada kita untuk sepuluh tahun mendatang adalah ditentukan dengan apa yang sedang kita fikirkan sekarang.

Berubahlah. Anda yang berhak. Yang dah berlalu, biarkan ianya berlalu. Yang datang, jangan biar melepas. Kita sedang menuju ke sana. Pastikanlah, bahawa ianya adalah yang terbaik untuk masa depan kita.