Di mana-mana pun berada, maka carilah guru anda. Ikutlah apa yang dikata sebagai seorang guru. Kerana seorang guru itu tentunya ilmunya lebih berganda-ganda berbanding kita.

Di kanan kita ada guru. Di sebelah kiri kita pun ada guru. Di mana-mana pun kita mesti berguru. Di rumah si ibu adalah guru kita. Di sekolah, cikgu yang yang mengajar adalah guru. Jadi, tak salah kalau ucapan ini dihadiahkan buat mereka semua. Selamat hari guru!

Kita berhari guru bukan sekadar berhibur-hibur, bukan untuk mengikut-ikut. Bukan macam itu. Salah tu niatnya.

Hari guru ini biarlah dirai dan disambut dengan penuh kesedaran. Dan kesedaran yang lahir dari hati yang benar-benar menginginkannya secara langsung akan menghasilkan suatu tindakan yang benar-benar sempurna.

Ibu yang mendidik kita, yang mengajar kita mengenal apa itu huruf alif, apa pula yang disebut sebagai ba. Ayah yang saban malam merotan kita semasa kecil, lantaran malasnya untuk mengaji Al-Quran. Beliau juga yang tak habis-habis mengajar kita erti hidup sebagai seorang anak. Anak yang bila besar nanti didamba untuk membantu dan menjadi tunjang harapan keluarga. Bukankah semua itu adalah guru-guru kita?

Bukan itu sahaja. Bahkan, pengalaman-pengalaman yang dilalui juga adalah guru kita. Kalau anda melihat kepada rentetan peristiwa-peristiwa sukar mahupun senang yang anda sendiri pernah lalui, anda akan mengetahui bahawa semua itu adalah guru yang paling berharga dalam hidup anda. Tak ada sesuatu pengalaman dan guru yang paling bernilai dalam hidup melainkan sebuah pengalaman dan cerita hidup yang anda alami sendiri.

Maka tuan puan, abang, akak, adik-adik semua, marilah kita berjalan. Kita berlari. Kita menempuh hari-hari gemilang kita. Ikutlah irama, menarilah bersama guru-guru anda itu. Moga tarian-tarian itu bakal menjadikan kita salah seorang yang teramat sempurna suatu hari nanti, insyaAllah.