MARI kita mengambil tahu latar belakang sejarah tercetusnya idea hari guru ini. Selalu kita asyik menyambutnya, meraikannya, sampai jarang untuk kita menghayati cerita-cerita di sebalik hari guru ini.

Di negara kita Malaysia, saya telah ceritakan sebelum ini. Hari guru disambut lantaran penerimaan Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu oleh cadangan-cadangan yang dikemukakan olen Laporan Jawatankuasa Pelajaran.

Tarikh penerimaan cadangan ini ialah pada 16 Mei 1956, maka bermula dari situ kita terus mengambil tarikh itu untuk menyambut sambutan hari guru saban tahun.

Di tempat-tampat lain bagaimana? Dia Amerika, Kanada, negara Asia yang lain, tanah-tanah arab lain juga bagaimana? Tentunya di setiap negara mempunyai sejarah dan ceritanya yang tersendiri. Dan melalui jalan sejarah itu, mereka juga akan melalui hari-hari yang tentunya berbeza dengan rakyat negara kita yang terdahulu. Hasilnya, sambutan yang diraikan sepeti hari guru ini juga berbeza.

Di Amerika contohnya, sambutan hari guru ini disambut pada hari Selasa pertama dalam bulan Mei. Persatuan Pendidikan Kebangsaan di sana menyatakan bahawa sambutan hari guru ini adalah untuk menyambut dan menghargai segala sumbangan para guru kepada masyarakat.

Di India berbeza pula. Hari guru disambut bersempena oleh presiden negara mereka yang kedua yang juga merupakan seorang pendidik yang amat berdedikasi. Hari guru yang disambut pada 5 September itu sesetengahnya diraikan dengan pelajar-pelajar senior akan mengambil alih tugas mendidik pada hari tersebut sebagai penghargaan kepada guru-guru mereka.

Setiap tempat punya nilai warisan, tradisi dan sejarahnya yang tersendiri. Jadi, bersempena sambutan hari-hari istimewa seperti inilah kita seharusnya mengambil peluang untuk mengorek dan mengambil tahu sejarah dan cerita-cerita di tempat orang.

Bak kata ramai, jauh perjalanan luas pemandangan. Sama juga dengan hal ini, lagi banyak kita tahu, lagi banyak kita mengkaji, lagi banyaklah juga pemikiran kita.