SAYA dilahirkan di dalam keluarga yang suka menimba pengalaman yang baru-baru. Ibu saya suka melancong, bapa saya juga suka begitu. Jadi kami yang anak-anak ini macam itu juga.

Bezanya, minat ibu dan ayah saya ini hanyalah disandarkan kepada faktor anak-anak dan kekeluargaan saja. Maknanya, bab-bab berjalan-jalan ni hanya dengan keluarga saja mereka gembira. Dengan orang lain, tak jadi minat.

Disember 2009 yang lepas, kami sekeluarga berpeluang untuk menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu. Ternyata orang di sana amat menyenangkan hati saya sekeluarga.

Walaupun bunyi dan lenggok bahasanya yang agak berbeza dengan kami, tapi saya tidak langsung melihat suatu kejanggalan dalam perbualan bersama mereka. Ya, orang Sabah memang best!

Kadang-kadang itu, saya pun tak sangka bahawa saya sedang berada di sana. Keadaan persekitaran dan layanan mereka membuatkan saya rasakan bahawa saya sedang berada di tanah semenanjung.

Berjalan-jalan di waktu malam di pinggir laut Kota Kinabalu, sambil menghirup udara malam, menikmati coretan-coretan indah lakaran malam kurniaan Tuhan benar-benar memberi kepuasan kepada saya.

Perjalanan puluhan kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu ke Ranau dan Kundasang juga mengundang seribu satu pengalaman baru buat saya. Yang memandu kami sekeluarga adalah pemandu khas yang merupakan penduduk tempatan, tapi lidahnya tak pernah kekok, tak ada janggalnya untuk menghiburkan kami sekeluarga.

Segala perkara dan suasana yang dilalui sepanjang perjalanan akan diceritakan. Itulah, inilah. Saya sangat terhibur.

Inilah istimewanya negara kita. Sebuah negara yang berbilang agama, berbilang bangsa dan pelbagai kaum. Namun, tetap berada di bawah satu payung besar, Malaysia.