MENJALANI hari-hari di Mesir, memang mencabar. Tak ada istilah malas kalau nak berjaya di sini. Bukan di bumi kinanah ini saja, bahkan di mana-mana pun juga. Bila malas mula bersarang, kegagalan sering menjadi teman, kejatuhan akan sentiasa menanti.

Hari ini saya datang ke kuliah pukul lapan pagi. Dewan kuliah yang seharusnya dipenuhi dengan ratusan orang hanya dipenuhi oleh sebahagian pelajar saja. Tak ramai yang datang. Dah menjadi kebiasaan pun macam itu.

Hampir tiga puluh minit menunggu, pensyarah masih tak kunjung tiba. Saya dan rakan-rakan yang lain terus menanti, sampailah ke jam 8.45 gitu. Tak ada juga yang masuk ke dewan kuliah. Kelas cancel…

Pukul sembilan pagi, saya menuju pula ke hospital. Menghadiri kelas tutorial untuk plastic surgery. Biasanya dalam pukul sepuluh pagi gitu doktor akan masuk. Sampai jam sepuluh tiga puluh, masih tak ada siapa yang masuk. Hanya pelajar saja.

Kemudian, masuk seorang doktor HO, sambil teragak-agak, dia memberitahu bahawa kelas hari ini cancel. Esok adalah kelas wajib. Semua mesti hadir esok. Pulak!

Macam nilah Mesir. Tak dinamakan Mesir kalau anda tak pernah diberi makna ungkapan sabar. Tanah anbiya’ yang penuh dengan nilai-nilai kesabaran. Saya sangat seronok di sini. Saya belajar banyak perkara yang jarang saya perolehi di mana-mana tempat, termasuk di Malaysia.

Nilai-nilai kesabaran, ketabahan dan kesusahan inilah yang perlu saya garap, nilai kecekalan inilah yang mesti saya semai agar menjadikan saya insan lebih sempurna apabila bertugas di tanah air nanti.

“Kejayaan itu selalunya bermula daripada kesusahan yang kita sering alami. Dan kesusahan itu menjadikan kita lebih kuat, lebih tegar, lebih segar dalam mendepani segala cabaran masa hadapan.”