MASIH lagi kita di dalam kehangatan sambutan hari ibu. Tak salah kalau kita menyambutnya sebanyak hari yang mampu. Hari ini 9 Mei 2010 adalah hari di mana semua anak-anak mengambil kesempatan dan peluang untuk kembali mengingati semula akan segala pengorbanan ibu mereka selama ini.

Kalau mampu, sambutlah hari ibu selalu. Tak semestinya ketika hari ibu saja. Jadikan amalan menghormati dan menyanjung ibu ini sebagai budaya kita. Kalau tak ditumpahkan kasih itu kepada si ibu, nak diberi kepada siapa lagi.

Saya sertakan 8 ciri-ciri anak soleh daripada Surah Luqman ayat 15 sehinggat ayat 19.

  1. Berbuat dan bergaul dengan baik kepada ibu bapa walaupun mereka itu seorang yang musyrik.
  2. Melakukan sesuatu amalan kebaikan dan menjauhi amalan kejahatan walaupun tidak dilihat oleh orang-ramai.
  3. Mendirikan solat dengan sempurna.
  4. Menyeru dan mengajak manusia ke arah kebaikan.
  5. Mencegah orang lain melakukan kemungkaran dan kejahatan.
  6. Sentiasa sabar dan tabah akan segala bencana dan bala yang menimpa diri.
  7. Tidak sombong dan tidak takbur di dalam pergaulan di atas muka bumi ini.
  8. Sentiasa bertutur dengan sopan dan menghormati orang lain.

 Semoga kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga hari ibu ini menjadi titik mula untuk kita kembali menghisab diri.

Bagi yang tiada lagi ibu di sisi, cukuplah bacaan al-fatihah dan doa dari seorang anak kepadanya. Sesungguhnya, itulah satu-satunya bekalan dari kita untuk seorang insan bernama ibu.