HARI ini saya hadiri kelas general surgery selama sejam. Pensyarah yang menyampaikan di depan begitu bersemangat. Teruja saya mendengarnya.

Dan seperti biasa, sistem mikrofon di dewan kuliah universiti saya sejak akhir-akhir ini sering meragam. Tadi berlaku lagi.  Pensyarah yang sedang hebat memberi syarahan tiba-tiba senyap. Senyap bukan tak ada suara, tetapi tak dengar suaranya.

Macam biasa lagi, masalah ini akan akan diselesaikan oleh orang yang bertanggung jawab menjaga seelok belok sistem mikrofon di dewan kuliah. Di dewan kuliah universiti saya, sistem ini bukannya dikelolakan oleh suatu badan-badan khas, atau orang yang jelas berkelayakan.

Tapi, hanyalah seorang mak cik. Ya, seorang wanita yang sudah berumur. Nak panggil nenek pun sudah dikira wajar bagi adik-adik yang mungkin baru menjejakkan kaki ke tahun pertama zaman IPT.

Jangan nak salah sangka dan rendahkan pengetahuan mak cik ini. Kerana nyatanya, semenjak saya di tahun pertama sehinggalah mencecah ke tahun akhir. Dah enam tahun, masih mak cik itu yang mengawal sistem mikrofon di dewan kuliah itu. Orang yang sama.

Kalau dah enam tahun membuat kerja yang sama, maknanya dah boleh dikira hebatlah tu. Itu pun kalau benar-benar enam tahun. Kalau sebelum saya sampai ke sini dulu mak cik itu telah pun bekerja di sini. Lagilah lama.

Jadi, macam ni lah warna warni hidup. Ada orang kata, macam mana negara nak maju. Yalah, banyak sistem yang masih tidak diperbaharukan di bumi Mesir ini. Tapi pada pemikiran positifnya, kita boleh sanjung pada ‘kesempoian’ mereka dalam menjalani hidup.

Mak cik yang dah tua boleh uruskan mikrofon. Komputer dan laptop yang digunakan semasa di dewan kuliah itu juga dia yang pasang. Amacam?  Kan ke hebat namanya tu. Tak semua orang boleh beri kepercayaan kepada warga emas seperti ini.

Renunglah kita ke atas langit, takut-takut di situ ada impian kita. Tapi jangan lupa bahawa di tanah yang dipijak juga ada mutiara-mutiara yang kadang-kadang kita terlepas pandang.