SAYA sambung sedikit sembang kita yang sebelum ini. Kenapa graduan kita ni ramai yang nampak macam menganggur. Eh, bukan menganggur, tapi sendiri yang tak mahu cari kerja.

1. Terlalu memilih kerja.

Bila terlalu sangat memilih kerja, habuk pun tak ada. Kerja tak cari kita, tapi kita yang kena cari kerja. Jadi, apa peluang yang datang itu maka ambillah.

2. Tak tahu  potensi diri.

Ramai graduan masa kini yang gagal untuk mengaplikasikan kemahiran yang ada pada diri mereka. Mereka tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam diri mereka. Ini satu kesilapan yang sangat besar. Mulai sekarang, cuba kenal pasti kelebihan anda itu dan gunakanlah ianya sebagai anjakan paradigma untuk anda mencapai kejayaan yang tertinggi di dalam hidup.

3. Pemikiran yang masih terkongkong.

Kerja kerajaan saja yang menjamin. Ungkapan ni dah selalu sangat kita dengar. Ya, kerja kerajaan itu terjamin tapi tak bermakna kerja swasta atau persendirian itu tak ada masa depan. Soalnya ialah sikap. Berpeganglah pada prinsip kejayaan kita ditentukan pada usaha kita sendiri, bukan orang lain.

4. Matlamat yang salah.

Bila matlamat yang anda letak kurang tepat, anda mungkin akan tersalah langkah, seumur hidup! Pasanglah matlamat anda mulai sekarang. Bina objektif yang  spesifik. Yang penting biarlah relevan dengan kemampuan kita.

5. Pengaruh negatif persekitaran.

Kawan makan nasi ayam, kita pun nak makan nasi ayam. Member pakai kereta vios, kita pun nak melaram dengan vios. Sepupu duduk rumah besar, kita pun nak macam tu. Tak boleh macam tu. Salah satu masalah besar yang sedang dihadapi oleh graduan masa kini ialah sikap mereka yang mudah terikut-ikut oleh rakan dan persekitaran. Tengok kawan dapat kerja bagus-bagus siket, kita pun nak macam tu.

Dapat kerja yang macam low profile, jual mahal, tak mahu, tak ada minatlah kononnya, gajinya pun tak berpatutan. Nasihat saya, ubahlah pemikiran salah ini. Jadilah diri kita sendiri.

Nasib kita ni Allah dah tentukan atur jalannya kat sana. Jadi, tak usah risau-risau, ciptalah jalan anda itu. Penamatnya itu Allah dah bagi. Kalau perlu mula dari bawah, tak apa. Hari ini kita di bawah, tak bermakna esok-esok kita akan terus di sini.

Selamat bekerja, selamat mencari kerja, selamat menggunakan segala skill, bakat dan kelebihan yang anda ada!