KALAU anda katakan graduan masa kini ramai yang menganggur, anda mungkin silap. Tak ada istilah pengangguran dalam realiti hidup masa kini. Kat mana-mana pun kerja sentiasa menanti buat kita. Cuma nak atau tak nak saja.

“Alah, kerja tu budak SPM punya level, takkan aku nak kerja macam tu,” kata-kata macam ni dah biasa sangat saya dengar. Pelik dan ajaib, mengapa masih ada golongan masa kini yang tetap berfikiran sedemikian rupa?

Negara kita dah lama merdeka, kak, bang, dik. Maknanya, kita ni pun dah merdeka. Jadi, jangan asyik-asyik nak memenjarakan diri kita. Cuba bergerak sendiri. Ciptalah laluan yang tak pernah orang buat.

Macam itu baru dikata cemerlang, baru boleh dikata golongan berfikiran kelas pertama. Ini tak ada kerja aje, nak salahkan tak ada tempat. Bila mohon kerja, lambat dapat tawaran, kata peluang tak datang lagi. Awak yang tak datang pada peluang tu, macam mana peluang tu nak datang pada awak.

Betul, nak dapat pekerjaan yang betul-betul memenuhi kriteria dan kesukaan kita itu penting, penting sebab kalau tak ada minat segala pun tak jadi. Ya, betul tu.

Tapi kita tak boleh terlalu mengikut laluan yang telah sedia orang buat. Tak boleh banyak memilih. Masuk universiti bukan semata-mata nak dapat pekerjaan, dik. Salah matlamat tu.

Masuk universiti adalah untuk mendewasakan pemikiran, sikap dan cara bertindak kita. Ya, itu yang betul. Kalau sebelum masuk U dengan selepas masuk U sama saja pemikiran kita, maka gagallah usaha kita semasa di IPT tersebut.

Jadi, berubahlah dari sekarang. Gunakan segala kemahiran yang anda ada. Selagi mana anda menunggu peluang datang, anda akan terus ketinggalan, dan lebih ramai orang yang akan memintas anda dari belakang untuk menuju jalan kegemilangan, kecemerlangan.

Masuk U ke, tak masuk U ke, itu tak penting. Ambil bidang apa, itu pun tak penting sangat. Namun, apa yang jauh lebih penting adalah sejauh mana besarnya sumbangan kita kepada masyarakat.

Ubahlah fikiran kita, bergeraklah sendiri. Sampai bila mahu duduk di bawah telunjuk orang. Sampai bila mahu makan gaji. Anda dan kita semua ni ada banyak sebenarnya kelebihan, jadi cungkillah bakat istimewa kita itu.

Mana yang rasa sebenarnya dia hebat dalam aksi-aksi menjahit, dalam diam-diam asahlah lagi skill anda itu. Mana tahu esok-esok anda mampu menjadi tukang jahit tersohor, ada butik sendiri atau punya kelas-kelas menjahit persedirian secara profesional. Siapa tahu?

Yang pandai bab-bab memasak, tak salah pun kalau anda cuba untuk komersilkan hasil masakan anda tu. Tak cuba kita tak tahu. Betapa ramai manusia yang berjaya dengan restoran terkemuka dan syarikat-syarikat makanan bermula daripada sesuatu yang nampak macam mustahil. Maka cubalah.

Bagi yang mahir di bidang IT, pemasaran, atau apa-apapunlah, tak salah juga kalau anda bermula dari bawah. Belajar dari mereka-mereka yang jauh lebih berpengalaman dari anda. Mana peluang yang ada , terus ambil, jangan tunggu lagi. Kita tak tahu mungkin itu emas untuk kita tuai hasilnya suatu hari nanti.

Beza orang yang mahu berjaya dengan orang yang tak mahu berjaya adalah ditentukan dengan cara mereka berfikir dan bertindak, bukanlah dari gulungan sijil semata-mata.