ORANG yang ada ilmu dengan orang yang berpoket kosong tak sama.

Cubalah anda bersama dengan orang yang banyak ilmu di dadanya, anda tak akan pernah merasa rugi. Bahkan anda akan mendapat tempiasnya. Jadi, tak rugi berkawan dengan mereka yang punya ilmu.

Untuk menjadi seorang yang kaya dengan ilmu di dada, atau istilah yang lebih umumnya ‘generasi berilmu’, kita harus mengamalkan prinsip ‘tak tahu terus bertanya’. Ya, tak ada orang yang dah berjaya pada hari ini yang sekadar bermudah-mudah dan terus mengecap kejayaan.

Semua yang berjaya perlu bermula dari level ground zero. Tukang masak yang hebat akan bermula daripada belajar cara memotong-motong ikan dan daging. Seorang pelari pecut olimpik juga suatu masa dulu pernah belajar bertatih ketika di usia anak-anakan.

Jadi, tak ada istilah ‘pandai dan terus pandai’. Tak ada, bang. Nak jadi manusia yang berilmu, kita harus berpegang pada suatu prinsip kejayaan itu bermula daripada orang yang tak tahu. Maka bertanyalah. Tak rugi kalau kita bertanya. Kunci kejayaan adalah dengan bertanya dan terus bertanya.

Teringat saya kata-kata hebat Luqman al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, duduklah kamu di kalangan orang yang berilmu, kerana Allah akan menghidupkan hatimu dengan sinar ilmu sebagaimana Allah hidupkan bumi dengan hujan dari langit.

Jadilah kita orang yang berilmu. Di mana-mana pun , wujudkan budaya untuk menjadi tahu. Biasanya orang yang sentiasa cuba untuk menjadi golongan berilmu ini, dia tak mudah ditipu, dia tak mudah juga diperbodohkan. Percayalah.

Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah, “seorang yang berilmu adalah lebih sukar untuk ditipu oleh syaitan daripada seribu orang abid (ahli ibadah).”

Sama-sama kita renungkan.