ASSALAMUALAIKUM anda semua. Cerialah, bang. Tak best kalau hidup kita ni dipenuhkan dengan waktu yang sedih-sedih. Tak ada guna nak muram-muram. Esok lusa anda akan ceria juga. Jadi, baik kita happy sekarang. Tak payah nak tunggu esok lusa.

Hari ni mesti ada di antara anda yang tengah stress. Ha, kan saya dah kata, mesti ada punya. Ya, dalam sesuatu ketika mesti ada di antara kawan-kawan kita yang sedang berhadapan dengan masalah. Kita tak boleh lari daripada hal ni. Ini dah jadi macam suatu lumrah alam.

Hari ni dah masuk 30 April 2010. Maknanya ada sebulan lagi untuk kita akan menyambut Hari Antimerokok Sedunia. Jangan ingat tak ada ya. Hari Antimerokok Sedunia yang disambut pada 31 Mei setiap tahun adalah semata-mata untuk menyedarkan lagi kita-kita semua ni akan bahayanya merokok.

Tahukah anda bahawa seramai kira-kira 5.4 juta kematian daripada risiko merokok, dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun. Banyak tu. Jadi marilah kita ambil kesedaran akan hal ni. Sekarang, jangan tunggu esok. Tak salah pun kalau kita sambut sebulan lagi awal.

Jadi, sempena menyambut sebulan lagi Hari Antimerokok Sedunia ni, saya bawakan 8 tips untuk menghilangkan ketagih dan tabiat merokok.

1. Banyakkan minum air.

Banyakkanlah minum air. Lagi elok, gunakanlah straw (penyedut minuman). Kaedah ini dicadangkan oleh Dr Brunilda Nazario dari University of New Mexico. Katanya dengan  menghisap air menggunakan straw, sejenis bahan kimia dopamine akan dirembeskan dan ini akan mengurangkan stres dan depresi kita. Kurangnya stres akan membantu anda untuk menghilangkan rasa untuk kembali merokok.

2. Memberus gigi anda secara kerap.

Ini penting kerana apabila anda sering memastikan kebersihan gigi anda terjaga, anda secara langsung akan menghilangkan keinginan anda untuk menghisap rokok.

3. Cari zon selamat anti merokok.

Carilah tempat di mana anda rasa selamat dari pengaruh yang membuat anda kembali rasa untuk merokok. Di perpustakaan, dalam rumah, atau mana-mana sahaja.

4. Catat segala sebab anda mahu berhenti merokok.

Ini juga penting. Tampallah di dinding rumah, pejabat atau mana-mana lokasi yang selalu anda nampak. Ingatlah anak-anak, isteri dan keluarga. InsyaAllah anda akan lekas sedar.

5. Aktifkan gaya hidup anda.

Kalau boleh, lakukanlah aktiviti riadah sekerap yang mungkin. Riadah biasanya akan menghilangkan stres anda, juga melupakan anda kepada merokok. Berjoging, bersiar-siar di taman pun okay. Lebih kerap anda lakukannya, lebih mudah untuk anda lupakan tabiat merokok.

6. Letakkan sesuatu makanan di dalam mulut.

Makanlah apa-apa yang sesuai sebagai ganti kepada rokok. Gula-gula, makanan ringan atau apa-apa sahaja. Teknik ini dah ramai pun orang buat, dan ternyata amat berkesan.

7. Sentiasa mengawal mood.

Yang ini sangat penting. Kawallah mood anda. Biasanya orang akan kembali merokok apabila dia rasa stress. Jadi cuba kawal emosi anda. Gembirakanlah diri anda semampu mungkin.

8. Kuatkan semangat dan kesabaran

Yang last ni sangat-sangat penting, bang. Dalam kita melakukan apa pun sahaja kerja, mesti kena kuat. Sabar itu nombor satu. Maka kuatkanlah azam anda. Semoga berjaya!