APA KHABAR orang kampung? Apa cerita orang bandar? Apa berita tuan puan semua. Harapnya anda semua terus bersemangat dan penuh yakin dalam menempuh hari-hari bekerja.

Kalau hari ini hari bekerja, maka kuatlah keazaman anda. Pastikan setiap hasil kerja anda hari ini adalah jauh lebih baik dari hari-hari semalam.

Kalau hari ini hari untuk bercuti, maka gunakanlah ianya untuk anda mengutip seberapa banyak rehat yang secukupnya. Enam hari bertungkus lumus membanting tulang, jadi yang satu hari ni kita gunakan untuk mengutip semula tenaga yang mungkin ada yang telah terkurang. Tak salah, kan?

Bagaimana pula dengan impian anda? Adakah telah tercapai atau pun masih lagi belum berjaya dikecap?

Selalu orang kata, kita mesti percaya kepada sesuatu keinginan jika mahu impian itu berjaya digapai. Betul?

Antara percaya dan yakin itu mesti dibeza. Awak percaya aje awak boleh tackle anak dara Pak Dollah, awak rasa awak boleh dapat ke dia tu, bang?

Tak boleh. Nakkan sesuatu itu maknanya kita mesti bersungguh-sungguh. Kita wajib menggunakan keseluruhan tenaga kita untuk menggapainya.

Jadi, tak boleh setakat percaya saja, dik. Kena yakin! Ya, yakin dengan penuh kepercayaan bahawa sesuatu itu mampu untuk kita genggam. Ha, barulah tercapai. Barulah semua yang diimpi boleh direalisasi.

Konsep ni sama juga dengan konsep kita mempercayai rukun iman. Yang enam tu. Kita wajib mempercayai Allah, rasul, malaikat, kitab dan yang seterusnya.

Kena percaya saja ke? Sebagai manusia yang beragama Islam, konsep mempercayai Allah dan yang lain-lain ni semuanya memerlukan keyakinan. Kalau tak yakin Allah ada, susah manusia nak ikut semua aturanNya.

Ramai saja orang bukan beragama Islam yang percaya bahawa nabi Muhammad itu pernah wujud. Juga percaya akan adanya Quran.

Tapi mereka tak memeluk agama kita ni kenapa? Kenapa mereka tak beramal dengan semua kandungan Quran tu? Ya, sebab mereka ni tak cukup yakin bahawa agama Islam ni mampu memberi kebahagiaan kepada mereka. Mereka pun tak cukup yakin pada segala yang terkandung dalam Islam ni.

Jadi, inilah yang membezakan kita dengan orang bukan Islam. Kita percaya dan kita yakin dengan segala yang kita fahami. Kalau orang tak yakin adanya hari akhirat, adanya malaikat yang mencatat segala amalan baik dan buruk mereka, mampukah mereka beramal dengan segala ajaranNya? Boleh, tapi susah nak cari orang macam tu.

So, yakinlah dengan apa yang kita hendakkan. Tak cukup dengan percaya saja. Percaya dengan sepenuh keyakinan. Itulah yang sebaiknya.