MARI kita sambung bicara kita tentang ‘antara yakin dan percaya’ ni. Ya, kedua-duanya membawa makna yang hampir sama. Nampak macam serupa, tapi tak sama.

Jadi, macam mana nak menanamkan rasa yakin dan percaya kita kepada sesuatu tindakan itu?

1. Belajar untuk kenal objektif.

Bila kita nak mula rasa yakin akan sesuatu yang kita buat, cubalah belajar untuk mengenali  sesuatu objektif itu sebaiknya. Kalau anda nak rasa yakin dengan keagungan Tuhan, anda perlu lebih mengenali Allah. Anda mesti mentadabbur setiap isi Al-Quran dan segala nikmat kurniaanNya. Hanya dengan mendekatkan diri kepadaNya sahaja anda akan mula kenal siapa itu Tuhan.

Sama juga kalau anda nak tanam rasa percaya dan yakin kepada seseorang yang anda  sayangi. Nak tak nak, anda mesti belajar untuk mengenali hati budinya. Cuba untuk kenal latar belakangnya. Pemarah ke orangnya. Kuat cemburu ke sifatnya. Pandai memujuk ke sifatnya.

Bila semua ni mampu untuk anda kenali, insyaAllah anda akan berjaya untuk mula meyakini setiap apa yang anda kehendaki itu sebab anda tahu tentang segala kelebihan dan kelemahan pada objektif anda itu.

Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.

2. Imaginasi segala kebaikan daripada capaian matlamat itu.

Yang ini sangat penting. Kalau anda mematlamatkan untuk mencapai sesuatu tahap yang tinggi di dalam hidup. Nak jadi pengurus barangkali di pejabat anda. Anda mesti benar-benar yakin dapat mencapai matlamat itu. Betul?

Ya, untuk yakin, anda juga perlu mengimaginasikan segala kelebihan dan kenikmatan sebaik saja anda berjaya mendapatkan matlamat itu.

Cuba bayangkan bahawa pendapatan bulanan anda akan bertambah selepas kenaikan pangkat itu. Dan dari tambahan pendapatan itu, anda akan mampu untuk mengagihkan wang itu dengan lebih teratur dan selesa buat keluarga dan anak-anak.

Bila anda telah cukup tahu dengan segala feedback positif hasil daripada capaian matlamat itu, anda pasti benar-benar yakin untuk menggapai segala matlamat yang dituju.

3. Positif pada setiap tindakan.

Saya nasihatkan kepada anda yang nak mula menanamkan rasa yakin kepada sesiapa pun. Sama ada cita-cita, matlamat kerja, misi masa hadapan atau pun yakin terhadap seseorang, cubalah untuk bersikap lebih positif. Kalau boleh, buang terus segala yang negatif-negatif.

Cuba ambil sekeping kertas kosong, ambil pula sebatang pen, tulislah segala manfaat dan kebaikan daripada menanamkan rasa keyakinan anda itu. Kemudian, catat pula segala keburukan hasil daripada meragui matlamat anda itu. Dan sekarang, cuba bandingkan kedua-duanya.

TUAN puan, tak ada manusia berjaya yang akan terus menerus memandang ke arah kegagalan. Tak ada manusia cemerlang macam tu.

Kalau kita nakkan kejayaan terus bersama kita, jadilah kita manusia yang sentiasa berfikiran terbuka, positiflah dalam setiap tindakan, dan yakinlah dalam setiap yang dituju.

Salam keyakinan!