KITA selalu berangan yang besar-besar. Kalau nak sesuatu pun nak yang hebat-hebat. Kalau boleh, yang biasa-biasa ni tak nak.

Semua orang macam tu. Bukan awak aje, dik. Biasanya, manusia ni nakkan sesuatu yang hebat-hebat sebabnya benda ni lazimnya dapat memberikan kepuasan yang penuh kepada diri.

Yang biasa-biasa ni bukannya tak best, tapi selalunya kurang menarik. Yalah, nama pun biasa-biasa, maknanya dah ramailah tu yang memilikinya.

Dalam hati kita ni ada hati besar dan hati kecil.

Kalau anda nakkan suatu yang hebat-hebat dalam hidup, maka gunalah hati besar ni. Hati besar ni walaupun kadang-kadang tak boleh dipercayai, tetapi dia ni mampu membawa anda kepada sebarang matlamat yang anda letak.

Hati besar akan membawa keseluruhan jiwa, tenaga dan pemikiran anda untuk terus cuba sedaya-upaya untuk merealisasikan matlamat yang anda tetapkan.

Hati besar juga yang akan mengangan-angankan segala yang besar-besar dalam hidup.

Orang yang tak ada hati besar, biasanya dia susah nak maju. Sebab sesuatu kemajuan dan kehebatan itu lazimnya lahir dari keinginan. Dan keinginan yang benar-benar tinggi itu akan lahir dari minda yang dibawa dari hati besar kita.

Jadi, nak maju, anda harus gunakan hati besar. Hati besar ini akan membawa anda mengecapi segala matlamat dan keinginan yang tidak pernah anda bayangkan selama ini.

Kalau kita ni orang susah, kita mesti tukar setting dalam minda kita bahawa kita akan jadi kaya tak lama lagi. Pasangkan niat betul-betul bahawa dua puluh tahun lagi aku tak lagi miskin macam hari ini.

Ada orang yang salah menggunakan teknik ini, akan menggunakannya ke arah kegagalan. Minda mereka akan ditipu dengan hati besar mereka. Hati besar mereka itu juga sentiasa dipengaruhi oleh faktor luaran dan pengaruh persekitaran.

Sebab tu kita lihat ramai anak-anak kampung yang masuk ke bandar, akan menjadi bertambah liar, makin rosak perangainya. Kerana apa? Kerana hati besar mereka telah mempengaruhi minda mereka untuk memperalatkan pemikiran asal.

Hati besar mereka sering berkata bahawa apabila masuk aje ke bandar, dia akan jadi orang bandar. Segala gaya hidup pun mesti cara orang bandar.

Jadi tuan puan, gunalah minda, pemikiran dan hati besar kita ni sebaiknya. Manfaatkanlah ianya ke arah kecemerlangan dan kehebatan diri kita.

Hati besar adalah untuk suatu yang besar-besar, yang hebat-hebat, bukan untuk kehancuran.