KITA sambung bicara hati ke hati. Cerita hati ke hati ni selalunya menjadikan sebuah komunikasi itu berjalan dengan sangat lancar.

Ramai orang segan untuk meluahkan rasa dan masalahnya apabila bersama sekumpulan ramai orang. Masalah ini selalu mampu diselesaikan dengan wujudnya komunikasi antara hati ke hati.

Tanpa hati besar, susah untuk kita menggapai apa-apa pun kecemerlangan yang hebat-hebat dalam hidup.

Bolehlah dikatakan bahawa, hati besar ini ialah suatu booster untuk kita menolak diri kita jauh lagi ke depan. Hati besar juga adalah daya tujah untuk kita terus maju dan cemerlang.

Jadi, apa pula fungsi hati kecil?

Bila kita asyik-asyik mengangankan suatu yang besar-besar dalam hidup, hati kecil akan selalu mengingatkan kita.

Hati kecil akan sentiasa memandu kita agar kita tidak terlalu ghairah dalam mengejar sesuatu impian.

Hati kecil akan sentiasa jujur pada diri anda. Jadi, tak boleh kata hati kecil ini tak perlu. Tak boleh, kak, bang, dik.

Dalam kita sibuk-sibuk nak dapat untung dalam perniagaan, hati kecil selalu mengingatkan kita bahawa dalam untung itu akan datang risiko. Dalam risiko itu selalu akan hadir kegagalan. Dan kegagaan itu selalunya berakhir dengan kehancuran.

Tanpa hati kecil, manusia akan terus menerus melakukan kesilapan. Kita akan lupa apa itu erti jatuh. Kita akan terus dan terus mengejar yang di atas, sehingga kita lupa apa yang ada di bawah.

Jadi tuan puan, peliharalah hati-hati kita. Kawallah hati besar kita. Ingatlah kita juga punya hati kecil.

Dua-dua kalau bijak digabungkan, insyaAllah kita akan menjadi manusia yang paling cemerlang.

Selamat maju jaya.