KITA berjumpa kembali di alam yang sama, namun di dua situasi dan keadaan yang mungkin berbeza.

Ada di antara anda yang mungkin sedang bersedih. Ada di antara anda juga yang sedang bergembira.

Apapun tuan puan, marilah kita usahakan semampu yang mungkin untuk menceriakan diri kita. Nak sedih atau nak gembira, kita yang pilih. Jadi, kenapa mesti memilih untuk berduka?

Bila ada saatnya kita mungkin ada merasa kurang keyakinan. Itu yang menyebabkan kita kadang-kadang rasa macam sedih, muram dan sebagainya. Selalu kita berhadapan dengan situasi macam ni.

Justeru, macam mana kita nak atasi masalah kurang yakin dan rasa rendah diri ni?

1. Bina kekuatan dari dalam.

Ramai yang tak sedar bahawa mereka tu hebat sebenarnya. Nak bina kekuatan dari dalam ni, kita mesti benar-benar kenal diri kita. Kita mesti tahu apa kelebihan dan apa kekuatan diri kita.

Kita selalu gagal untuk betul-betul kenal diri kita sebab kita sendiri tak pernah cuba untuk bina kekuatan jati diri kita yang kukuh dari dalam.

Pernahkah anda rasakan bahawa anda adalah manusia yang paling bodoh di dalam dunia ni tatkala anda mendapat sesuatu kegagalan.

Kegagalan tu tak semestinya yang besar-besar. Contohnya mungkin, anda hanya gagal untuk melepasi suatu halangan, lopak atau mungkin sebuah longkang kecil. Anda mungkin terjatuh ke situ.

Atau anda mungkin terpijak akan tahi kucing, padahal anda dah tahu pun di situ memang banyak kucing-kucing yang tidak bertuan.

Bila perkara ni berlaku pada anda, anda mungkin akan berasa andalah orang yang paling gagal di dalam dunia. Gagal kerana anda masih melakukan kesilapan yang sama dan serupa.

Rasa dan perasaan ini wujud kerana kita gagal untuk mengenali siapa diri kita yang sebenarnya.

Kalau anda kenal siapa dan bagaimana anda mampu menghasilkan sesuatu kesudahan yang hebat-hebat daripada sebuah kegagalan, anda tak akan rasa sedih. Sebab anda tahu bagaimana untuk menghasilkan suatu kejayaan daripada diri anda sendiri.

Sebab anda tahu dengan kegagalan itu anda belajar banyak lagi perkara. Dengan kesilapan itu juga anda akan menambahkan satu lagi pengalaman yang cukup berharga buat diri anda.

Jadi, binalah kekuatan anda dari dalam. Kenal betul-betul kelebihan anda. Dan hasilkanlah kejayaan yang benar-benar hebat daripada kekuatan dalaman anda itu.