SALAM hebat, salam penuh kegemilangan dari saya. Kecemerlangan, kehebatan dan kemajuan. Semua kita mahukan yang itu kan?

Tanyalah semua orang kat mana-mana pun, semua mereka mesti nakkan kejayaan yang takkan  pernah ada hadnya. Maknanya, hebat sangatlah tu kejayaannya.

Jadi tuan puan semua, macam mana kita nak jadi betul-betul terbilang macam tu? Apa cara dan panduan hidup yang harus kita lakukan?

Nak jadi manusia hebat, nak sesuatu yang luar-luar biasa, biasanya usaha pun tak boleh  biasa-biasa.

Segala tindakan pun kena pelik-pelik. Kalau orang pagi-pagi masih tidur, kita dah pun di atas jalan raya, ke tempat kerja, ke kuliah atau ke masjid.

Kalau petang-petang orang semua sibuk bersesak-sesak di atas lebuh raya, pulang ke tempat kerja. Anda pula masih tekun di pejabat.

Ha, inilah suatu petua hebat yang ingin saya kongsikan. Jadilah luar biasa bang, kak, dik!

Selagi anda tak menjadi seorang yang luar-luar biasa, hasilnya nanti pun masih akan tetap  biasa-biasa aje.

Jangan salahkan orang lain yang tak mengubah anda. Jangan cuba nak cakap anak jiran sebelah rumah selalu bising, sebab tu aku tak boleh score dalam exam. Cikgu pun selalu datang lewat ke kelas. Macam mana aku nak lulus peperiksaan?

Itu semua alasan-alasan untuk mereka yang cuba mencari alasan. Kita sebagai manusia yang nak jadi hebat, tak bolehlah macam tu, bang. Kena luar biasa sedikit. Tak banyak, sedikit pun tak apa.

Kalau kawan kita tu berada pada jawatan yang sama di tempat kerja kita, tapi kita pelik. Kenapa dia ni pakai kereta mewah, kenapa rumah dia ni besar sangat. Ha, cuba tengok cara dia bekerja. Perhatikan cara dia mengatur gaya hidupnya.

Orang macam ni dia akan sentiasa cuba untuk menjadikan dirinya tu luar biasa. Nak jadi luar biasa macam mana? Nak jadi luar biasa kenalah lakukan sesuatu kerja yang jarang atau belum pernah lagi orang buat. Tak susah kan.

Kalau kat mana-mana majlis atau di kelas-kelas. Penah tak perhatikan. Bila penceramah, pensyarah atau guru menanyakan apa-apalah soalan. Bila disuruh angkat tangan. Ada tak yang terus angkat tangan. Ada?

Majoritinya akan tengok-tengok, pandang-pandang, jeling-jeling, bila dah ramai yang angkat tangan, ha barulah yang kita-kita ni sibuk juga nak angkat tangan.

Macam ni ke nak jadi luar biasa, dik?

Jadi, nak jadi luar biasa ni, usaha pun kena luar biasa. Orang selalu solat subuh berjemaah. Kita buat tahajjud sekali. Tambah-tambah dengan bacaan Quran dan zikir. Kan tu pun dah dikira suatu yang luar biasa.

Sama jugak, kalau orang semua sibuk bekerja, yang kita pun dok berangan, kerja pun masih tak ada. Orang sibuk mencari rezeki, kita boleh senang lenangnya goyang kaki. Ha kan luar biasa tu. Hasilnya pun nanti luar biasa juga. Orang nanti ada kereta besar, kita apa pun tak ada.

Jadi pembaca semua, apa-apapunlah, cuba usahakan sesuatu yang luar biasa. Luar biasa ni maksud saya ialah luar biasa cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukannya luar biasa kepapaan.

Salam terbilang, salam maju jaya, salam keluarbiasaan, selamat berjumpa lagi!