BILA kita memberi, biasanya kita akan dapat kembali apa yang kita beri itu. Bagilah apa juga sumbangan kita untuk sesiapa pun juga, pasti ada balasannya nanti.

Kadang-kadang kita tak nampak bahawa apa yang kita beri itu merupakan hadiah buat kita, ganjaran untuk kita suatu hari nanti.

Contohnya begini, pernahkah anda terfikir bahawa apa akan berlaku kira-kira beberapa bulan setelah anda mencampakkan benih sepohon pokok di atas mana-mana tanah? Apa akan jadi kepada benih itu setelah dibiarkan berhujan, kadang-kadang dibaja, disiram, dipelihara?

Hasilnya nanti anda juga yang peroleh bukan. Anda juga yang akan menikmatinya. Justeru, tak rugi kita berbakti pada tanah. Tak ada kesalahan berbudi pada tanah, kak.

Macam tulah perumpamaan hidup ini. Tak perlu pergi jauh-jauh. Pendekkan cerita, memberi itu tak semestinya dalam bentuk wang ringgit semata. Bahkan banyak lagi ‘aset’ yang kita ada, dan kita sendiri mampu untuk sumbangkan. Ha, berilah yang itu. Bagilah sebanyak mana ‘aset-aset’ yang kita ada kepada semua manusia di sekitar kita.

Pertolongan kita kepada sahabat kita ketika di dalam kesempitan, itu dikira aset. Bantuan kita di dalam pelajaran kepada adik-adik yang kurang memahami subjek berkenaan, juga dikira aset. Buah fikiran kita di mana-mana aktiviti berkumpulan juga dikira aset.

Jadi, saya yang menulis ini juga merupakan sebuah aset yang saya sedang usaha laburkan. Bukan untuk siapa, tapi untuk diri saya sendiri, disamping anda yang membaca.

Semoga anda semua beroleh kebaikan daripada tulisan-tulisan motivasi saya. Moga anda juga berjaya mencantas semula sentuhan kegemilangan anda yang sekian lama menanti untuk digilap.

Bila saya menulis, saya sendiri akan terdorong untuk memperbaiki setiap langkah hidup saya. Saya akan berusaha untuk menjadi seorang manusia yang jauh lebih baik. Saya akan sedaya upaya untuk memajukan diri saya ke suatu tahap yang saya sendiri tidak pernah bayangkan sebelum ini!

Tidakkah itu suatu pelaburan yang sangat hebat?