SEMOGA anda semua terus bahagia, bersemangat, bangkit dan terus berkeyakinan dalam setiap apa juga yang anda lakukan. Buat apa kita lakukan sesuatu perkara kalau kita sendiri tak yakin dengan apa yang kita lakukan tu. Tak guna, kak.

Kita bangun pagi-pagi, celik-celik mata aje dah dapat panggilan telefon, orang marah-marah kita. Orang sound kita macam-macam. Bila diselidik-selidik, bukannya apa, rupa-rupanya hanya kerana tak puas hati dengan hasil kerja yang kita buat. Kira apa yang kita buat tu tak betullah, senang ceritanya. Aduhai.

Macam itulah yang dikata hidup dalam masyarakat. Hidup dalam suatu jemaah, persatuan atau mana-mana yang sama waktu dengannya. Kita perlu menjaga hati semua orang, Kita mesti memelihara rukun dan tatasusila kita sesama jiran tetangga. Betul?

Jadi tuan-tuan dan puan-puan semua, hari ini saya nak kongsikan beberapa tip mudah untuk kita mengawal pendapat dan apa juga pandangan yang masuk ke dalam kotak fikiran kita secara berhikmah.

Bagaimana kita mahu memastikan semua pandangan itu betul, macam mana pula kita nak menulikan telinga kita terhadap segala tohmahan buruk dan pandangan orang terhadap apa yang kita lakukan. Nak tahu, jom!

1. Abaikan segala pandangan yang dirasa tak perlu.

Abang, kakak, adik-adik, tak guna nak layan orang-orang yang macam ni. Tak payah nak ambil kisah sangat pandangan yang sengaja nak jatuhkan kita. Anggap aje masuk telinga kanan keluar di sebelah kiri. Mudah, kan?

Ada kalanya mereka ni hadir sengaja untuk membuatkan kita jauh kembali ke belakang. Tak semua pandangan yang diberi itu baik, bang. Tak semua buah fikiran yang diberi itu merupakan pandangan yang positif, kak. Tak semuanya ikhlas.

Kadang-kadang, kita tak perlu dengar semua pandangan orang terhadap kita. Ya, pandangan individu lain terhadap kita adalah amat perlu untuk kemajuan kita pada masa hadapan. Kita wajib mendengar buah fikiran orang. Itu mesti!

Bukannya apa, sebab kita sendiri kadang-kadang tu tak sedar bahawa apa yang kita buat ni sebenarnya salah. “Eh, apa aku buat selama ni tak betul rupanya.” Pernahkan berdepan situasi macam ni?

Kadang-kadang kita memang tak tahu pun bahawa yang kita buat selama ni adalah jauh daripada jalan yang sepatutnya. Kita tak sedar pun apa yang kita lakukan selama ni salah. Orang lain yang betulkan.

Jadi, betullah tu. Pandangan orang terhadap kita amat perlu. Itu penting.

Tapi tuan-tuan dan puan-puan, pandangan kita terhadap diri kita juga penting. Kita tak boleh nak nafikan hak kita. Kita ada harga diri. Kita ada nilai untuk diri kita sendiri. Anda, mereka di luar sana dan saya punya sebuah nilai diri yang kita sendiri berhak untuk melevelkan sejauh mana tingginya nilai kita itu. Kita ada ketuanan!

Jadi, jangan biarkan orang lain menguasai hasil tindakan kita. Tak boleh macam tu. Kita berhak ke atas diri kita. Mana yang teguran yang dirasa betul, yang rasa-rasanya membina, maka kita ikutlah.

Namun, mana yang sah-sah hanya nak menjatuh dan memuaskan hati mereka, hah, biarkan aje. Kita buat aje kerja kita. InsyaAllah, jalan kejayaan akan terbuka jua.

2. Minta pandangan pihak ketiga.

Jangan terlalu rigid, bang. Tak guna nak ambil suatu pendekatan yang dah selalu sangat orang guna. Ambil mana yang betul, buanglah yang salah. Itu lagi mudah.

Ada kalanya pandangan anda itu adalah jauh lebih baik dari apa yang anda sendiri sangka. Anda sendiri yang tak selalu nak bagi peluang untuk diri anda sendiri. Anda selalu menafikan kebolehan anda.

Jadi, jangan sibuk sangat hal orang. Tak payah susah-susah dok memikir pandangan orang terhadap kita. Fokus sahaja. Kalau salah, ada orang tegur, dan kalau kita pun rasa apa yang kita buat tu salah, ha ubahlah.

Kalau bila tengok-tengok, pandangan tu macam tak betul, macam ada niat tak baik, macam ada rasa iri hatilah senang ceritanya, maka mintalah pandangan orang lain pula. Minta pandangan  daripada pihak ketiga.

Kalau boleh, rujuklah pada orang yang dah ‘veteran’. Biasanya mereka yang  macam ni lebih banyak makan garam dari orang muda-muda macam kita ni. Itu yang seeloknya.

3. Cari semula punca masalah.

Kadang-kadang bila kita ada masalah, kita tak sering nak usaha untuk cari kembali apa sebab masalah tu datang. Kita asyik nak marah-marah orang, kita tak habis nak salah-salahkan orang, tapi kita tak pernah cuba untuk tengok apa sebabnya masalah tu berlaku.

Ya, bila berdepan apa pun masalah, maka rujuklah kembali asal usul masalah tu. Tak guna nak tension-tension. Letih aje. Masalah tetap masalah. Problem tetap problem. Kalau bukan  kita yang nak ubah, nak harap siapa lagi, kak.

Jadi samalah macam ni. Bila banyak sangat pandangan orang dan kawan-kawan terhadap kita, maka rujuklah kembali kepada masalah asalnya. Kenapa Siti marah-marah aku? Kenapa Mutusamy tak habis-habis kata aku sombong? Kenapa mak mertua aku benci sangat kat aku ni?

Ha, macam itulah. Bila kita ingat-ingat balik kenapa orang semua tak puas hati dengan kita, bila kita selidik semula apa sebab semua orang tak suka kita, selalunya kita akan dapat temukan puncanya. Atasinya dengan baik. InsyaAllah, semuanya akan selesai dengan cara yang sempurna.

JUMPA lagi. Doakanlah semua jiran, sahabat, teman dan semua manusia sekitar anda semuanya sihat. Semoga kesihatan dan kegembiraan mereka itu akan turut memberikan keceriaan kepada anda yang berpanjangan.

Dengar cakap enggang, makan buah beluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk. Salam hormat, salam sayang, jagalah ketuanan kita, kita sudah merdeka!