SUATU petang yang mendamaikan, ada dua kelibat manusia. Kedua-duanya sedang berduduk-duduk santai di bawah sepohon pokok. Agak mesra gitu. Seorang perempuan. Yang seorang lagi lelaki.

Yang perempuan tu kira-kiranya masih muda. 20-an barangkali. Yang lelaki tu nampaknya sudah sedikit berusia. Mencecah ke separuh abad mungkinnya.

Si anak sibuk membaca buku. Tekun dan bersemangat sekali. Si bapa pula tak habis-habis memakan kuaci. Memang itu kegemarannya. Dah malas si anak nak kacau.

Suasana petang itu sangat damai. Tenang setenang-tenangnya. Angin yang bertiup sesekali membawa aroma indah yang kadang-kadang itu tidak pernah pun diharap. Kedua-dua mereka sibuk dengan kelakuan mereka itu.

“Dik, tu apa?”

“Mana, bah,” jawab si anak. Murni namanya.

“Itu, atas tu,”

“Oh, itu kan burung gagak, bah.”

Si bapa tersenyum, si anak pula kembali dengan buku yang dibacanya. Suasana kembali sepi. Nampaknya petang itu begitu sibuk dengan kicauan burung-burung yang teringin juga menghangatkan suasana petang yang permai itu.

Kesemuanya dilihat indah berterbangan ke sana ke mari. Ada yang bertenggek di celahan dahan, ada yang bermain-main di tepian rumput menghijau.

Anak-anak muda yang turut berada di situ, sibuk menghirup udara yang segar. Mengharapkan suasana itu bakal memberi lebih kesegaran dalam hidup-hidup mereka, itu barangkali yang sering difikirkan oleh anak-anak muda tersebut.

“Dik, yang kat hujung sana tu, apa ya,” si abah bertanya lagi.

“Mana? Laa.. itukan gagak, bah,” jawab si anak.

Si bapa terus tersenyum. Kembali melihat-lihat persekitaran taman yang tenang itu. Tak ramai pun pengunjung seperti hari-hari selalu, bisik hati kecil si bapa. Si anak masih juga tekun.

Suasana sepi kembali. Buku yang di tangan semakin erat dipegangnya. Seronok sangat membaca. Orang tua di sebelahnya itu masih lagi termenung. Jauh sungguh pandangannya. Seolah berat yang berada di benak. Namun, senyuman di bibir tetap tidak terlepas darinya.

“Adik, itu apa ya, sayang?” tanya lagi si bapa. Nampak kacau pemikirannya.

“Abah, adik penatlah bah. Kan adik dah bagitahu dari tadi. Itu gagak. Itu gagak, bah. Tak faham ke,” tegas jawapan si anak. Tidak pun menoleh ke arah yang ditunjuk oleh si bapa. Orang tua itu hanya terdiam. Kali ini tidak lagi tersenyum.

Dengan langkah yang perlahan, dia meninggalkan anaknya itu keseorangan sebelum kembali semula dengan sebuah buku bersaiz nota di tangan.

Si anak itu masih tetap juga dengan buku yang dibacanya. Tidak langsung mengendahkan kelakuan si bapa. Menyesal atas perbuatannya, apatah lagi.

“Dik, cuba baca yang ni,” sambil menghulurkan sebuah buku yang siap terbuka, si bapa mengambil buku yang ada di tangan si anak. Murni mengambilnya perlahan-lahan. Dia terus membaca muka surat pertama buku dari bapanya itu. Kusam. Kelam. Kedam. Sudah nampak berhabuk. Namun masih tetap seperti dijaga.

Hari ini aku membawa anak bongsu kesayanganku, Murni ke taman. Kami berdua berpimpinan ke situ. Sangat gembira aku melihat Murni. Aku pun gembira.

Sampai di taman, aku menemani segala apa yang Murni lakukan. Segala kehendaknya aku turuti. Aku puas. Murni pun sangat puas.

Murni bertanya padaku tadi akan apa yang dilihatnya di atas pokok. Dan aku mejelaskannya bahawa itu adalah merpati. Murni kata cantik. Dia suka akan merpati itu.

Dia tanya lagi kepadaku. Dan aku pun menjawabnya sekali lagi. Murni sangat manja kepadaku petang tadi. Ah, gembiranya…

Murni memang sangat manja. Dan dia terus bertanya soalan yang sama juga kepadaku. Dan aku terus menjawab. Begitulah berulang kalinya.

Setiap kali itu juga, aku akan memeluknya sekuat hatiku, menghadiahkannya ciuman manja.

Aku gembira. Aku puas…

Buku yang dibaca ditutup. Si anak terdiam. Mata mula berkaca-kaca. Si bapa juga membisu.

“Abah, maafkan adik, bah!”

Abang, kakak, adik-adik semua, sedarkah kita siapa kita ini? Tahukah anda bagaimana kita boleh ada seperti mana hari ini. Ingatlah adik-adik, adanya kita pada saat ini adalah kerana wujudnya orang-orang sebelum kita.

Ibu bapa perlu diletak nombor satu. Tanpa mereka, siapalah kita. Tanpa ibu yang mengandung sembilan bulan sepuluh hari, tanpa ibu yang melahirkan kita, siapa kita pada hari ini.

Tak ada bapa nak tengok anaknya susah. Tak pernah ada bapa yang sanggup melihat anak-anaknya tak dapat apa yang mereka inginkan. Semua bapa nak lihat anak-anaknya gembira. Semua mereka nak tengok anak-anak mereka membesar dengan serba sempurna.

Biarlah harta dan jiwa tergadai, asal anak dapat apa yang dihendakkan. Memang itu yang selalu seorang bapa fikirkan.

Jadi, pesanan saya kali ini, ingatlah kembali asal-usul kita. Dari mana kita datang, kat mana kita sekarang itu kadang-kadang tak penting sangat.

Kaya ke miskin kita ni pun tak berapa penting sangat. Tapi apa yang jauh lebih penting, ingatlah insan-insan yang pernah benar-benar membahagiakan kita suatu masa dulu, sampai sekarang.

Sayangilah hati mereka…