ALAHAI, sedih kan adik ini. Tengok dia pun kita jadi tak sampai hati. Sayu aje. Dah tu, macam mana nak buat. Memang dah nak sedih, nak buat macam mana. Jadi, perlukah kita ni bersedih?

Ya, memanglah tak perlu. Tak ada orang pun yang mahu hidupnya ini penuh dengan cerita-cerita sedih. Tapi masalahnya aku memang tak boleh elak, satu hari aku mesti nak sedih, satu hari tu ada aje orang nak buat aku sedih.

Hai, masalah juga ya. Jadi anda semua, bagaimana. Macam mana kita nak mengawal rasa sedih ini. Lazimnya kita memang tak ingin bersedih. Ya, itu dah boleh menjadi satu fakta pun. Namun, sedih ini mana boleh dielak-elak. Kalau dah nak sedih itu datang, dia datang aje, tak boleh punya nak main sorok-sorok. Ya kan.

Menurut suatu kajian daripada Archieves of General Psychiatric, pada bulan Jun 2005, kira-kira 14.8 million orang Amerika sedang mengalami depresi dan kemurungan.

Jadi, saya terus senaraikan 5 langkah mudah untuk mengatasi rasa sedih dan stres.

1. Lakukan aktiviti luar dan rekriasi.

Salah satu langkah yang paling elok dan baik untuk menghilangkan depresi dan stres adalah dengan melakukan senaman, ini menurut kajian daripada US Medical Research. Kita ini kadang-kadang tu jarang sangat untuk melihat dunia luar. Kita tak perasan sebenarnya yang kita ni asyik terperap aje kat dalam rumah.

Lagi-lagi yang telah bergelar suri rumah. Khususnya yang sepenuh masa. Dua puluh empat jam menghadap periuk, kuali, penyapu, atau paling-paling jauh pun mungkin melihat rumah jiran sebelah. Itu pun ketika hendak mengangkat jemuran barangkali.

Maka, lakukanlah aktiviti rekriasi sesekali itu. Seeloknya lakukanlah di waktu pagi. Waktu petang pun bagus. Kalau boleh setiap hari, lagi elok.

2. Ketawalah semampu mungkin.

Yang ini saya suka. Ketawa saja, mudah kan? Anda ketawa sebanyak dan semampu yang mungkin, anda akan hilangkan segala stres dan semua masalah yang sedang melanda. Tak kisahlah orang nak cakap awak ni gila. Yang penting awak hepi. Yang penting kita bebas daripada segala kemelut yang menghimpit kita.

Kita sebenarnya bukanlah ada masalah besar sangat pun. Cuma terkadang itu persekitaran kita saja yang menambah-nambah stres yang ada. Ya kan? Justeru, ketawalah semampu anda, tengoklah hasilnya nanti.

3. Bersama kawan.

Nombor tiga ini pun penting. Ya, carilah teman. Pergilah bersama kawan-kawan rapat yang anda rasa dapat menghilangkan segala masalah anda. Ajak mereka keluar. Borak-borak dan sembang dengannya.

Di kala kita sibuk menghadapi tekanan hidup, tengah menghadapi peperiksaan barangkali, kita memang kadang-kadang itu tak boleh lari daripada stres. Ya, itu memang biasa berlaku. Jadi, carilah teman, habiskan masa bersama mereka beberapa ketika. InsyaAllah segalanya akan mudah.

4. Cari punca masalah dan buang jauh-jauh.

Bila kita menghadapi masalah, kita selalu lupa. Kita jarang untuk ingat semula apa sebab kita jadi macam ni. Kita tak sering pun melihat kembali apa punca keadaan stres kita ini. Jangan terlalu ikutkan emosi. Cuba kawal diri. Tarik nafas, hembuskan perlahan-lahan. Kalau boleh duduk, maka duduk. Kemudian, ingat semula punca kesedihan dan stres kita. Atasilah dengan cara yang terbaik.

Kalau kawan yang menjadi punca stres kita, anggaplah bahawa kita pun juga selalu berbuat silap pada mereka. Kalau adik kita yang buat kita jadi stres, anggap aje yang kita pun dulu sering membuat stres kepada kedua orang tua kita. Belajarlah untuk mengawal diri. Anda pasti berjaya.

5. Menjadi pemaaf

Kadang-kadang kita tak selalu ingat yang kita ini pun banyak buat salah pada orang, pada teman dan juga pada kawan-kawan kita. Jadilah pemaaf. Selalu ingat bahawa bukan kita sahaja yang berhadapan dengan masalah. Bukan awak aje ada problem dalam hidup. Semua orang ada. Kalau awak rasa masalah awak tu dah besar sangat, macam mana pula dengan ketua-ketua negara ketika ini. Bagaimana pula dengan perdana menteri yang nak menguruskan satu Malaysia.

Itu tak termasuk ketua-ketua bagi persidangan besar dunia yang lain. Jadi ingatlah, semua orang ada masalah. Bukan kita saja. Masalah ni selalunya nak menguji kita, kita kuat atau tidak. Sebab tu ramai orang berjaya mereka telah lali dengan ungkapan stres ni. Stres ni tak ada dalam kamus hidup mereka. Nak berjaya, mereka mesti akan bergelumang dengan suka, duka, stres dan segala rencam masalah, barulah berjaya.

Maka itu anda semua, jadilah kita pemaaf. Maafkanlah saja sesiapa pun yang menimbulkan kemarahan dan kesedihan kita. Moga suatu hari nanti Allah akan mudahkan urusan kita pula di kemudiannya.

Senyumlah, insyaAllah jadi ceria, Jom!