MALUNYA adik ini. Kenapa ni, dik? Ada apa, malu ke? Tengoklah sini. Alahai, pemalunya dia.

Abang, kakak, makcik, pakcik, dan adik-adik semua. Nampak tak apa yang saya sedang perhatikan. Boleh agak apa yang sedang bermain di benak fikiran saya? Ya, kita cuba pandang dari suatu sudut yang positif. Kita nilai setiap yang berlaku dari pandangan motivasi. Boleh?

Adik ni malu ke? Dia pemalu ya? Atau dia ni saja buat-buat malu (cuba bawa mouse anda ke gambar adik itu kat atas, tengok apa dia jawab)

Apapun pembaca semua, perlu ke sifat malu ini? Mesti ke ada pada anda, pada mereka dan pada saya ini sebagai seorang manusia yang cemerlang?

Nak cemerlang, nak ke depan, nak maju, mana boleh malu. Kalau malu tak dapatlah semua yang kita hendak. Ya kan? Justeru, apa perlunya malu?

Saya teringat hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi yang bermaksud Malu adalah cabang iman, dan iman itu ada di dalam syurga. Kurang sopan pula adalah sebahagian daripada kekerasan hati dan kekerasan hati itu letaknya di neraka.

Nah, anda nampak? Betapa pentingnya sifat malu ini. Ya, kita perlu sebenarnya kepada sifat malu. Tanpa malu, segala macam boleh berlaku. Hampir semua gejala sosial yang galak berleluasa ketika ini adalah lantaran tiadanya rasa malu di kalangan si pelaku.  

Justeru, jangan kata orang itu malu, jadi dia tak boleh maju. “Eleh, kau ni pemalu sangat. Sampai ke tualah kau tak akan kahwin.” Biasa kan dengar orang cakap macam tu? Khususnya kepada mana-mana anak dara yang masih juga tak laku-laku.

Mereka itu bukannya tak laku, cuma belum lagi ditemukan seseorang yang terbaik buat dirinya. Siapa tahu, sekali dapat-dapat anak raja. Siapa tahu. Siapa sangka sekali dipinang, terus kekal ke akhir hayat, bercucu-cicit lagi. Yang awal-awal dah dipinang, yang hingus masih meleleh, nak juga kahwin tu, belum tentu lagi macam itu. Belum pasti kekal ke akhirnya. Semua itu kuasa Allah.

Jadi, hidup ini terlalu sukar kalau kita hendak bahaskan. Yang penting kita perlu kembali kepada motif dan tujuan utama kita dihidupkan. Malu perlu ada. Jangan sampai dikata lelaki tak tahu malu. Kalau perempuan tak tahu malu, apatah lagi.

Salam hormat, selamat membaca, dan semoga terhibur!

 p/s saya sedang mencari rentak untuk menulis secara konsisten. Doakan ya!