HARI ini saya keluar dari Malaysia hall (di mesir biasa dipanggil ARMA) seperti biasa. Hampir 15 minit ke jam lapan pagi gitu. Dan pagi-pagi di Cairo masih dingin. Hari ini pun dah masuk 8 April, tak lama lagi saya pasti akan merindui kedinginan ini. Musim ‘bahang’ akan menjelma. Aduh!

Cerita-cerita tentang Mesir ni, anda pernah sampai ke Mesir? Yang memang belajar di Mesir tak payahlah saya nak cerita. Ini saya tanya kepada yang di luar sana tu. Di belah utara, timur, barat atau selatan Mesir. Pernah?

Siapa yang pernah sampai ke sini, tentu anda ada banyak kisah dan bekalan di kocek untuk dibawa pulang sama. Ya kan? “Mesir ini rakyatnya kasar, adab pun kadang-kadang tu nush wu nush.” Betul? Saya pasti ramai di kalangan anda yang pernah menjejakkan kaki ke bumi anbiya’ ini bersetuju dengan ungkapan saya di atas. Budaya mereka memang macam tu sebenarnya. Tapi hati mereka baik.

Terus kepada cerita saya tadi. Dan motor yang ditunggangi saya untuk ke kuliah terus melalui jalan-jalan biasa yang saya lalui saban hari. Dari El Khazindar Street, saya masuk ke jalan utama menuju ke kota Abbasiah. Ternyata, angin pagi begitu menenangkan. Damai.

Tiba-tiba, motor saya dipintas oleh sebuah motor besar. Warnanya putih. Sah, ini polis! Dengan selamba, motor besar itu memintas saya dan terus memecut ke depan. Hai, macamlah boleh speed sangat kat Mesir ni, bicara saya dalam hati.

Yalah, di Mesir ni kalau bawa apa jenis kenderaan pun, jarang yang boleh membawa laju-laju. Bukannya apa. Bukan tidak mampu. Tapi alasan mudahnya, Mesir ini zahmah, mesir ni sentiasa sibuk. Sibuk dengan kenderaannya, juga sibuk dengan orangnya di jalan raya. Macam-macam.

Baiklah, tentang kisah polis itu tadi. Yang amat-amat mengecawakan saya ialah boleh pula dia tunggang motosikal tu tanpa helmet di kepala. Aduhai. Polis ke ni? Menasihat, menangkap orang bagai nak apa. Tapi, hang buat juga apa hal? Alahai.

Saya ikuti polis itu, sampailah akhirnya kami terpisah di kota Abbasiah. Saya terus ke kuliah, dan si polis itu entah hilang ke mana. Ke Roxy barangkali.

Anda semua yang membaca bagaimana? Ya, inilah lumrah dunia. Kita ni kadang-kadang tu sedap aje nak sound-sound orang. Nak kata orang itu salah. Kata orang ni tak betul. Yang kita ni bagus sangat ke. Hebat ke kita ni.

Ya, menasihati, menegur tidak salah. Eloklah diteruskan. Yang tak eloknya, kita tak habis-habis nak menyalahkan orang lain. Ada kan orang macam ni? Jangan cakap tak ada. Saya dah jumpa ramai spesis manusia macam ni.

Jadi pembaca semua, dan anda semua di luar sana,  kita yang bijak-bijak ini jadikanlah iktibar. Kalau nak mengata atau menyalahkan orang, boleh. Buatlah. Tapi niat perlu betul. Niat biar untuk menegur, moga suatu hari nanti dia bertaubat. Kan bagus.

Yang kita ni pun kena buat juga. Kadang-kadang tu kita tak sedar, kita ni asyik nak suruh orang minta maaf, kita nak cakap orang tu buat dosa, buat salah, tapi kita?

Maka ingatlah. Kita jalankan amar makruf. Tegakkan yang benar, yang salah kita tegur, kita nasihat. Moga kita semua terus menjadi ummah yang cemerlang, terbilang dan hebat di mata dunia!