SUASANA petang itu redup. Angin dilihat mula meniup-niup, ke sana ke mari. Hendak hujan barangkali.

Keretapi ketika itu telah sendat dengan penumpang. Semua berhimpit-himpit. Setiap daripada mereka sibuk dengan hal sendiri. Ada yang menggalas beg di belakang, dari kuliahlah tu. Yang membimbit beg di tangan pun ada, dari pejabat mungkinnya.

Dua orang anak beranak sedang asyik berbual. Duduknya di hujung suatu sudut. Agak jauh daripada orang ramai.

“Abah, tengok-tengok, cantiknya!”

Keretapi mula bergerak. Perlahan-lahan ia meningkatkan kelajuannya. Pemandangan dari arah tingkap itu benar-benar menggamit anak muda itu. Dia terus menjerit-jerit. Tersangatlah riang dan takjub.

Semua di sekeliling mereka berdua terkejut. Bengang dengan tindakan anak muda ini. Yalah, umur kalau budak-budak lagi, memang layaknyalah macam tu. Ini dah besar, ikut-ikutkan bentuk badan dan muka pun, nak masuk 30 pun ada.

Namun disebabkan malas nak melayan. Masing-masing membiarkan saja telatah anak muda itu. Si bapanya pula hanya tersenyum. Sesekali melayan juga keletah anak mudanya tu. Sekali kita pandang, memang tahu anak manja.

Angin yang sedari tadi bertiup lembut mula membawa bayu yang dingin. Tak lama kemudian, hujan mulai turun. Semua penumpang mula menutup tingkap di sisi mereka.

Anak muda ini? Ha, dia apa lagi. Bersorak-sorak. Sangat gembira sambil menepuk-nepuk bahu bapanya. Riak mukanya itu benar-benar membuatkan semua orang di sekeliling kurang senang. Meluat jangan ceritalah.

Ketika itu juga, hujan yang turun itu sedikit demi sedikit mengenalah kepada beberapa penumpang yang turut berada di tepi tingkap itu. Maka melentinglah mereka semua.

“Hei, orang tua. Kalau anak kau ni tak sihat, bawa aje lah ke hospital sakit mental. Janganlah sampai mengganggu dan menyusahkan ketenteraman awam!” salah seorang daripada mereka yang ramai-ramai itu menjerit. Yang lain-lainnya seakan menyokong. Suasana mulai bising. Hingar bingar.

Lelaki tua itu menarik nafas dalam-dalam, menghembusnya perlahan-lahan. Dengan keadaan teragak-agak, dengan nada suara yang rendah, orang tua itu menjawab, “Kami berdua baru saja balik dari hospital. Anak saya ni buta sejak kecil. Baru hari ni dia boleh melihat. Semua yang dilihatnya ini mungkin terlalu asing dan baru bagi dia. Maafkan kami atas semuanya tadi…”

Suasana tetiba senyap. Hiruk pikuk yang tadinya seakan riuh sekali tiba-tiba berhenti. Suasana jadi hening. Bening. Kelu tanpa sebarang suara.

Teman-teman, saudara-saudara, dan anda semua… semoga kita lebih bijak menilai setiap tindakan dan perbuatan kita. Kadang-kadang kita terlalu cepat sangat menilai seseorang. Kita jarang pun untuk memahami perasaan orang.

Fahamilah bahawa hidupnya kita ini adalah untuk memakmurkan alam ini bersama-sama. Dunia ini bukannya untuk kita seorang. Bukan untuk keluarga kita saja. Allah bagi pinjam untuk semua makhluknya merasa.

Berkasih-sayanglah sesama kita. Berbaik sangkalah sesama saudara. Moga itu membawa lebih keberkatan dan kerahmatan kepada kita.