ASSALAMUALAIKUM kepada anda semua. Diharapkan agar semuanya berada di dalam keadaan yang sihat hendaknya. Sihat fizikal, rohani dan juga mental.

 Bagi peminat fanatik pasukan bola sepak Chelsea, masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan syabas di atas kemenangan pasukan anda ke atas musuh pencabar, Manchester United tempoh hari.

 Buat peminat Manchester United pula, saya juga ucapkan tahniah kerana segalanya belum terlambat buat anda untuk bersedih. Ada lima lagi baki pertarungan yang perlu ditempuh. Justeru, tiada siapa yang boleh mendabik dada saat ini.

 Itu mengenai bola sepak. Di tanah air pula, lain pula ceritanya. Seorang bekas imam hari ini dihukum penjara enam tahun Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana memiliki kanabis.

Che Shamsuddin Che Long, 61, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan itu kelihatan tenang apabila dijatuhkan hukuman oleh Hakim Dazuki Ali.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Beris Tengah, Tanjong Pauh, Bachok didakwa memiliki tujuh batang balutan kertas putih berisi bahan tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 57.7 gram pada 15 April tahun lalu, di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu.

 Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dua batang kertas putih berisi tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 12.65 gram pada tarikh dan tempat sama, pada jam 7.50 malam.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pertama dan penjara dua tahun bagi kesalahan kedua, dengan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.

Hakim Dazuki juga menasihatkan Che Shamsuddin agar insaf dengan kesalahan yang dilakukan selain sedar tertuduh adalah seorang yang dihormati berdasarkan statusnya itu dan telah empat kali menunaikan haji.

Bekas imam itu yang mempunyai tujuh anak itu turut ditanya kenapa terjerumus dalam kes dadah itu namun tertuduh hanya menjawab “tidak tahu” dan menjelaskan beliau ke Makkah dalam tempoh 1989 sehingga 2004 menggunakan wangnya sendiri.

 Semoga kita beroleh iktibar. Apa yang berlaku maka jadikanlah tauladan. Tidak kira siapa pun kita, ingatlah bahawa Allah sentiasa menilai dan melihat setiap tindakan kita.