PELAKON Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, ditahan semula tidak sampai dua jam setelah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret hari ini berhubung kes dadah.

Dia ditahan ketika berada di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran jamin oleh dua orang anggota polis pada 2.50 petang sejurus sahaja ibunya, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

 Seorang daripada anggota polis itu dilihat menghampiri Benjy dan memegang tanganya sambil menyatakan dia akan ditahan semula untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas). Benjy yang kelihatan terpinga-pinga, hanya sempat bersalaman dengan ibunya tanpa berbual apa-apa dengan Azean yang juga kelihatan amat terkejut.

Azean dengan suara gementar sempat bertanya kepada polis mengapa Benjy ditahan dan hanya mampu mengalirkan air mata melihat Benjy dibawa pergi.

Adik Benjy, Elza Irdalyna, yang turut berada di situ, menjerit ke arah anggota polis berkenaan sambil menangis tetapi kemudiannya dipujuk oleh Azean.

Azean yang kelihatan lemah memberitahu pemberita bahawa beliau kesal dengan cara layanan polis kerana tidak memberi penerangan yang sewajarnya.
“Beberapa kali Kak Yan tanya kenapa anak saya ditangkap tetapi tiada seorangpun yang beritahu kenapa. Tidakkah seorang pun anggota polis di situ berfikir bahawa Kak Yan ni adalah ibunya yang sedang sakit. Tak boleh beritahu elok-elokkah?” katanya.

Azean yang menangis sepanjang temubual itu berkata beliau kini kebingungan.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy, berkata anak guamnya itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan beliau berharap akan dapat berjumpa dengan Benjy tanpa sebarang sekatan.

Majistret Hafizza Sauni pagi tadi membenarkan Benjy dijamin sebanyak RM2,000 setelah pelakon itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamin (syabu) seberat 0.24 gram.

Anak lelaki tunggal Azean itu yang sebelum ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 SUMBER

 APA yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran buat kita semua. Sekarang bukannya masa untuk kita menuding jari kepada sesiapa pun. Ibarat kata ramai, jangan salahkan ibu yang mengandung.

 Dunia ini terlalu sukar terkadang itu untuk diertikan. Yang luaran itu tidak selalunya menjanjikan seperti di dalamnya. Kadang-kadang itu, yang luarnya itu nampak ‘samseng’ rupa-rupanya seorang alim ulama. Mana tahu bukan?

Dalam kita berbicara kisah Benjy ini, suka untuk saya menyatakan bahawa kita tidak berhak untuk mengulas dan menganggap sesuatu yang bukan-bukan tentang isu ini. Yang buruk apatah lagi. Kebenaran dan hakikat sebenarnya adalah Allah sahaja yang tahu. Siapa kita untuk menuding?

Siapa tahu kalau hari ini kita sibuk menceritakan hal dan keburukan orang, esok lusa mana tahu giliran kita pula untuk diuji. Bukankah dunia ini sememangnya gedung ujian buat setiap kita?

Hidup pasti penuh dengan cabaran. Lantaran itu jugalah kak Azean tidak habis-habis ditimpa dengan cabaran di dalam hidupnya. Dan setiap dugaan yang menimpan diri dan keluarganya itu tidak lain tidak bukan adalah untuk menunjukkan rasa kasih, sayang dan perhatiannya Allah kepadanya.

Bukankah setiap kesulitan yang diberikan itu, akan sentiasa menanti ganjaran dan kecemerlangan di hari kemudiannya. Moga-moga suatu hari nanti, akan tiba pula hari bahagia buat manusia-manusia yang sedang berduka ini. Ya, itu janji Allah!

Semoga kita yang membaca beroleh iktibar, mendapat manfaat sebaik mungkin. Dugaan ini juga sering dikata sebagai penghapus dosa. Sama-samalah kita berdoa, moga semuanya dipermudahkan. Yang benar itu pasti akan menang, walau pun pada awalnya kejahatan itu seolah-olah akan mendapat kemenangan. Salam bahagia!

 p/s kenapalah kurang beradab anggota polis itu? Di manakah letaknya nilai-nilai murni sebagai rakyat Malaysia. Sekurang-kurangnya, bagilah juga penjelasan kepada kak Azean itu. Huh, macam drama dalam filem pula ya.