Tiada jalan singkat ke puncak jaya!

HARI ini dunia kita semakin sendat dengan pelbagai rencam dan ragam. Macam-macam perkara berlaku. Dari dunia seni, arena sukan sehinggalah juga kepada masyarakat setempatnya.

Kesemuanya seakan tiada pernah ada titik noktah, ia akan terus berlaku, terjadi dan menghimpit kita yang merasakan bahawa ia adalah masalah. Bagi mereka yang positif, itu adalah asam garam hidup. Sekadar cubitan sedikit yang suatu hari nanti mampu menyedarkan mereka untuk tidak melakukan perkara silap yang sama. Tidakkah itu lebih baik?

Adik-adik, abang kakak dan anda yang membaca sekalian, siapa kita pada hari ini adalah lantaran banyaknya kita dihadapkan dengan pelbagai rintangan pada masa-masa yang lepas.

Usah mengaku anda hebat, kalau anda tidak pernah merasa jatuh. Jangan sekali-kali menganggap anda adalah pemenang andainya anda belum pernah merasa tewas.

Kejayaan perlu ditempuh dengan kegagalan. Sebut sahaja mana-mana manusia berjaya di dunia ini, mereka pasti pernah merasa pahitnya apa itu yang disebut gagal.

Ya, dengan kegagalan itu mengajar kita untuk lebih kuat. Mendidik anda untuk lebih tabah dalam melalui ranjau-ranjau berliku masa hadapan.

Mampukah Lionel Messi untuk terus hebat seperti hari ini?

Hari ini mungkin anda berjaya di dalam bidang yang anda ceburi, esok lusa siapa tahu nasib anda. Hari ini manusia seperti Cristiano Ronaldo atau pun Lionel Messi mungkin diagung-agungkan antara pemain bola sepak terbaik dunia, siapa pula boleh menjamin masa hadapannya akan terus hebat dan bersinar seperti hari ini?

Sudah banyak kita dengar kisah orang yang pernah berjaya di bidang masing-masing, namun akhirnya mereka tersungkur di dalam hidup. Kerana apa?

Ya, hanya lantaran kesilapan mereka ketika berada di atas. Mereka mungkin lupa bahawa hidup ini ibarat putaran roda. Siapa tidak beringat, pasti merana.

Justeru, raihlah emas-emas anda dari deretan pengalaman yang telah sedia anda kutip. Semoga ianya menjadikan anda lebih berjaya daripada hari ini.

Selamat berjaya!